AM > BERITA

Naik Taraf Pusat Penjaja, Persekitaran Lebih Lestari Antara Aspirasi Maimunah

24/08/2024 01:55 PM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 24 (Bernama) -- Menaik taraf tahap dan kualiti pusat perniagaan dan penjaja sekali gus mewujudkan persekitaran lebih lestari buat warga kota, menjadi antara aspirasi Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif yang dilantik menyandang jawatan itu, Khamis lepas.

Menjadi wanita pertama menggalas tanggungjawab sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah, 63, berkata beliau antara lain mahu mempertingkatkan fasiliti dan pusat penjaja di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selari dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mengangkat martabat golongan berpendapatan kecil khususnya peniaga.

“Penduduk di ibu kota memerlukan aktiviti ekonomi yang boleh menjana pendapatan dan kita mahu peniaga serta warga kota sendiri mendapat perkhidmatan bertaraf dunia, yang peniaga kecil mendapat perkhidmatan terbaik termasuk daripada segi kebersihan.

“Saya sangat bersetuju yang kemajuan tidak hanya diukur dengan pembinaan gedung tinggi semata-mata, sebaliknya kita perlu lihat yang ‘di bawah’ (penduduk) ini,” katanya kepada Bernama.

Bekas Pengarah Eksekutif United Nations Human Settlement Programme (UN-Habitat) yang juga anak jati Negeri Sembilan itu, turut berazam untuk mempromosi dan meningkatkan imej Kuala Lumpur yang bakal mempengerusikan ASEAN tahun depan.

Pernah menyandang jawatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), beliau turut berhasrat memperkasakan komuniti dan menjadikan bandar raya Kuala Lumpur sarat dengan aktiviti berteraskan budaya dan warisan.

Meneruskan pentadbiran terdahulu, Maimunah juga bertekad melaksanakan visi menjadikan Kuala Lumpur bertaraf dunia dengan memfokuskan kepada aspek persekitaran hidup, kerja, niaga dan urus tadbir. 

Beliau juga mahu menjayakan visi ‘Bandar Untuk Semua’ dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 yang diwartakan pada 19 Okt 2023, iaitu kelangsungan visi Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (PSKL2020), yang menjadi asas kepada perancangan dan pembangunan Kuala Lumpur selama hampir dua dekad.

Antara tekadnya, meneruskan dan menambah baik usaha dan perancangan memajukan Kuala Lumpur antaranya, memastikan bandar raya itu mempunyai daya tahan terhadap perubahan iklim, penekanan akan diberikan kepada aspek pembersihan dan pengindahan.

“Sehubungan itu, visi dan misi saya untuk perancangan dan pembangunan ialah menjadikan Kuala Lumpur lebih transformatif dan efektif serta inklusif, dengan mengambil kira aspirasi komuniti, memfokuskan kepada perubahan teknologi, strategi daya tahan bandar terhadap perubahan iklim dan mengenal pasti kaedah terbaik meningkatkan kualiti kehidupan warga Kuala Lumpur,” katanya.

Menyentuh berkenaan lantikannya sebagai wanita pertama menggalas tanggungjawab sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi menggantikan Datuk Kamarulzaman Mat Salleh yang bersara wajib, beliau menganggap itu sebagai satu penghargaan dan pengiktirafan kepada kebolehan serta kemampuan kaum Hawa untuk menerajui pihak berkuasa tempatan di ibu kota.

Beliau berkata selain pernah menjadi wanita pertama dari Asia Pasifik untuk menerajui UN-Habitat,  beliau juga pernah menjadi wanita pertama menerajui pengarah perancang bandar di MBPP, wanita pertama menubuhkan George Town World Heritage Incorporated serta menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai.

“Selepas dilantik ke jawatan sekarang, saya lihat juga reaksi di media sosial dan rata-rata menunjukkan masyarakat meletakkan harapan sangat tinggi, satu transformasi DBKL itu sendiri yang sebelum ini diterajui lelaki.

“Tapi saya memang suka kerja yang mencabar dan sedia melaksanakan mandat ini, saya beriltizam bersama seluruh warga DBKL untuk menambah baik perkhidmatan daripada segala aspek,” katanya yang juga mengharapkan kerjasama semua pihak termasuk warga kota untuk berganding bahu mencapai aspirasi yang dihasratkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan