BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 AM > BERITA

MAIWP Santuni Lima Sekeluarga Tinggal Di Pondok Usang

24/08/2024 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Program Ziarah Asnaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Siri 6/2024 hari ini menyantuni sepasang suami isteri dan tiga anak mereka yang tinggal di sebuah pondok usang berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang mengetuai ziarah itu berkata Mohd Khairul Azman Jamaludin, 30, dan isteri Siti Nur Fazirah Juhaimi, 23, berserta anak mereka berumur lima, tiga dan setahun, telah menetap di pondok berkenaan sejak sebulan lepas. 

“Mereka menyewa di sebuah bilik sebelum ini dan membayar RM400 sebulan kepada seorang kawan tetapi kawan tersebut tidak membayar sewa itu kepada tuan rumah, dan akhirnya tuan rumah suruh keluar. 

“Sebelum pindah di pondok ini, saya dimaklumkan mereka tinggal sekejap di rumah keluarga dan di hotel bajet,” kata Mohd Na’im yang turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-MAIWP Datuk Abdul Hakim Amir Osman pada program itu.

Mohd Na’im berkata MAIWP telah meluluskan bantuan kewangan RM500 dan bantuan makanan RM300 sebulan bagi meringankan beban Mohd Khairul Azman yang mengusahakan gerai burger di kawasan pondok tersebut sebagai punca pendapatan. 

Beliau berkata Mohd Khairul Azman sekeluarga akan ditempatkan di hotel bajet berdekatan, sementara MAIWP menguruskan proses mendapatkan rumah sewa untuk mereka, dengan bayaran bulanan ditanggung MAIWP. 

“Selain itu, MAIWP juga ada skim perniagaan usahawan dan kita akan daftar Mohd Khairul Azman untuk turut serta kerana beliau ada kemahiran dalam perniagaan dan semoga dengan penyertaan itu dapat meningkatkan kemahirannya,” kata Mohd Na’im.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pembayar zakat di Wilayah Pesekutuan kerana menerusi sistem zakat itu, MAIWP dapat memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Pada Program Ziarah Asnaf hari ini, beliau turut menyantuni dua penerima lain di kawasan Setapak Jaya di sini, iaitu warga emas Abd Razak Rejab, 65, serta orang kurang upaya (OKU) Eza Farriz Zaini, 38, yang turut mempunyai seorang anak OKU, Adam Haikal Eza Farriz yang berumur 19 tahun.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan