AM > BERITA

Sudut Bacaan Diwujudkan Di Stesen Keretapi Terpilih Sabah - Aaron Ago

24/08/2024 08:36 PM

KOTA KINABALU, 24 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan mewujudkan sudut bacaan khas di beberapa stesen keretapi terpilih di Sabah agar pengguna perkhidmatan pengangkutan itu dapat menikmati bacaan santai semasa berada di stesen-stesen berkenaan.

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata dalam era digital kini beliau melihat orang ramai terlalu fokus fokus kepada melayari media sosial di telefon bimbit masing-masing sehingga melupakan amalan membaca buku.

"Saya harap inisiatif ini mendapat sokongan daripada segenap lapisan masyarakat, dan dapat meningkatkan lagi budaya membaca dalam kalangan orang ramai," katanya ketika melancarkan Program Kembara Ilmu Ini Khazanah Kita di Stesen Keretapi Tanjung Aru di sini hari ini.

Beliau berkata selain mewujudkan sudut bacaan di stesen keretapi terpilih di Sabah, antara lain pengisian program adalah pameran digital dalam kereta api yang bakal dicatatkan dalam Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai First Digital Library Exhibition Aboard A Train.

Aaron berkata pameran digital itu berlangsung mulai hari ini hingga 5 Sept depan secara percuma dengan jangkaan pengunjung seramai 10,000 orang.

Program anjuran KPN itu dijayakan menerusi penglibatan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Perpustakaan Negeri Sabah (PNS), Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Sutera Harbour Resort.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan