AM > BERITA

Kerja-kerja Naik Taraf Di Jalan Kamaruddin Isa Di Ipoh - MBI

25/08/2024 06:15 PM

IPOH, 25 Ogos (Bernama) -- Pengguna jalan raya diminta mematuhi arahan papan tanda keselamatan di Jalan Kamaruddin Isa di Taman Fair Park di sini berdekatan kawasan kerja naik taraf kelubung oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berikutan kejadian jalan retak dan berlubang.

MBI dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian itu disebabkan berlakunya hakisan tebing berhampiran struktur kelubung paip yang baru sahaja disiapkan pada awal bulan ini melalui kaedah jacking.

Pihak berkuasa tempatan itu turut memaklumkan melalui semakan pihak mereka, hakisan tebing itu berlaku disebabkan korekan yang dilaksanakan oleh pihak kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan struktur inlet (salur masuk) kelubung berkenaan.

Kerja-kerja pengukuhan tebing mula dilaksanakan pada petang semalam dengan kaedah pemasangan beg pasir dan rekahan serta lubang di permukaan jalan juga telah dikambus untuk mengelakkan berlakunya runtuhan lebih serius.

"Pihak MBI menjangkakan kerja-kerja pembinaan struktur inlet akan siap dalam tempoh seminggu. Terdapat juga kerja pemasangan U drain yang perlu disambungkan dari inlet sedia ada ke muka kelubung," menurut kenyataan itu.

Kerja-kerja naik taraf kelubung itu dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan September.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam kenyataan berasingan berkata persimpangan lampu isyarat Jalan Ghazali Jawi sehingga persimpangan lampu isyarat Jalan Raja Ashman Shah (Jalan Hospital) ditutup satu arah bermula jam 7 malam hingga 12 tengah malam ini.

Bagaimanapun, katanya, laluan dari arah Jalan Hospital ke Jalan Ghazali Jawi dibuka seperti biasa.

Menurutnya polis menjalankan kawalan lalu lintas di sepanjang laluan yang terjejas dari semasa ke semasa berikutan menerima aduan orang awam berkaitan insiden tersebut pada jam 10.45 pagi tadi.

"Penutupan jalan ini adalah bertujuan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja membaik pulih semula jambatan yang mendap dan terjejas itu," katanya.

Beliau turut menasihatkan warga Ipoh supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa penutupan jalan dilaksanakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan