AM > BERITA

Wakaf MAIK Muamalat Secara Dalam Talian Sasar Peningkatan Kutipan 20 Peratus

25/08/2024 05:19 PM

KOTA BHARU, 25 Ogos (Bernama) -- Wakaf MAIK Muamalat secara dalam talian yang merupakan kerjasama antara Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyasarkan peningkatan kutipan sebanyak 20 peratus pada tahun ini.

Ketua Jabatan Kewangan Sosial Bank Muamalat Zaharuddin Alias berkata transformasi digital itu yang dilakukan secara kod Respons Pantas (QR) bertujuan membolehkan masyarakat berwakaf secara dalam talian dengan mudah, pantas, dan telus. 

"Bagi menyahut seruan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyokong landskap perkhidmatan kewangan digital lebih memberangsangkan, Bank Muamalat telah menyediakan perkhidmatan wakaf digital di lima negeri iaitu Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pahang.

"Sumbangan yang diterima Wakaf MAIK Muamalat akan diagihkan kepada projek wakaf di bawah sektor pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi masyarakat setempat termasuk penajaan asnaf terpilih untuk menyertai program keusahawanan iTEKAD Bank Muamalat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Logo Baharu dan Kod QR Wakaf MAIK Muamalat bersempena Bulan Wakaf MAIK di sini hari ini yang disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Hasnan Ramli dan Pengarah Perbankan Runcit Bank Muamalat Mohammad Zalman Jalil.

Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata pihaknya sentiasa komited untuk menjadi peneraju agenda wakaf tunai melalui kerjasama dengan majlis agama Islam negeri bagi memperkasa kemajuan ummah dalam mencipta kehidupan lebih baik.

"Di Kelantan, Wakaf MAIK Muamalat dilancarkan pada tahun 2018 dengan kutipan telah mencapai lebih daripada RM2.3 juta. Sehingga kini, lebih RM932,526 telah diagihkan kepada projek wakaf yang memanfaatkan rakyat di Kelantan," katanya.

Maklumat lanjut mengenai Wakaf MAIK Muamalat boleh didapati di laman web Bank Muamalat www.muamalat.com.my atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat di 03-26005500 atau di cawangan Bank Muamalat. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan