AM > BERITA

Konvoi Semarak Kasih Merdeka KEDA Di Empat Desa KEDA

25/08/2024 05:14 PM

PENDANG, 25 Ogos (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menganjurkan Konvoi Semarak Kasih Merdeka KEDA dalam usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan kepada penduduk Desa KEDA negeri ini.

Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Shariff berkata konvoi selama dua hari satu malam itu bermula hari in dan disertai 49 penunggang motosikal KEDA Bikers, agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) akan menjelajah ke empat Desa KEDA.

"Lokasi pertama konvoi ialah Desa KEDA Tanjung Setol, Pendang diikuti Taman Sejahtera Rakyat Sungai Toh Pawang, Kuala Muda; Desa KEDA Nagalilit, Kulim dan Desa KEDA Sungai Kecil Ilir di Bandar Baharu.

"Konvoi ini ialah usaha KEDA untuk mempromosikan Bulan Kebangsaan selain mengeratkan silaturahim antara kakitangan dan mengukuhkan jalinan hubungan bersama penduduk desa. Kita juga mahu memperkenalkan Desa KEDA kepada komuniti luar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat 56 Desa KEDA, dan empat yang dikunjungi konvoi itu desa yang menyertai pencalonan Anugerah Desa KEDA MADANI 2024 yang berlangsung sebelum ini.

"Kita berharap program dan aktiviti yang dijalankan menerusi konvoi ini dapat melahirkan generasi muda terutamanya dalam kalangan anak-anak KEDA yang menghayati dan mensyukuri nikmat kemerdekaan selama ini.

"Kemerdekaan ini membawa banyak makna … kita harap penduduk KEDA juga dapat memerdekakan diri dengan keluar daripada kemiskinan, mempunyai kemahuan untuk mengubah nasib diri, keluarga dan masyarakat KEDA supaya dapat terus berjaya di dunia dan akhirat," katanya.

Ismasuhaimi berkata menerusi konvoi itu, pihaknya berpeluang bertemu penduduk desa KEDA secara langsung dan berbincang serta berkongsi idea untuk membantu perancangan pembangunan di negeri ini.

"KEDA agensi yang berperanan penting dalam pembangunan luar bandar termasuk menyediakan tempat tinggal kepada rakyat dan antara projek yang dijalankan KEDA ialah Projek Penempatan Semula Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) KEDA, Kampung Perumahan Traditional, Projek Pemajuan Kawasan (PPK) dan Projek Pertumbuhan Desa (PPD)," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan