AM > BERITA

Mangsa Banjir Lumpur Mula Bersihkan Rumah Masing-masing

25/08/2024 06:07 PM

TANJONG MALIM, 25 Ogos (Bernama) -- Mangsa yang terjejas akibat fenomena kepala air di Ulu Slim dekat sini sudah mula melakukan kerja-kerja pembersihan selepas rumah mereka dilanda banjir lumpur sejak Jumaat lepas.

Penduduk Kampung Pasir, Suhaila Talib, 38, berkata dia bersama suami serta empat orang anaknya membersihkan kediaman mereka setelah gangguan bekalan air yang terjejas sebelum ini akibat kejadian itu sudah mula pulih sejak awal pagi tadi.

Beliau berkata ahli keluarga lain turut membantu membersihkan rumahnya yang terjejas teruk dengan lumpur dan selut sehingga menyebabkan kesemua peralatan elektrik, perabot dan kelengkapan rumah rosak teruk.

"Keadaan cuaca hari ini baik dan tidak hujan, jadi eloklah cuci dulu rumah yang kotor sebab kalau lambat bersihkan kesan lumpur dan selut yang tebal akan mengeras, lagi susah hendak cuci.

"Walaupun saya sedih dengan kejadian yang menimpa, tetapi bersyukur kami sekeluarga terselamat kerana semasa kejadian tidak ada sesiapa di rumah," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya dekat sini hari ini.

Suhaila dan keluarganya ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Jamek Kampung Pasir sejak Jumaat lepas.

Suhaila berkata banjir lumpur yang melanda kampung berkenaan ialah yang paling teruk ekoran laman rumahnya dipenuhi dengan timbunan kayu dan pokok besar yang tumbang akibat dihanyutkan arus deras fenomena kepala air.

"Kampung Pasir ini kerap banjir saban tahun namun tidak seteruk ini, biasanya banjir berlaku tidaklah sampai lumpur teruk sebegini," katanya.

Seorang lagi penduduk kampung, Shahrizal Radzi, 38, berkata rumah didiami sejak 20 tahun lalu yang berhampiran dengan sungai, terjejas teruk akibat kejadian banjir lumpur Jumaat lepas.

"Ini (banjir) paling teruk, sebelum ini banjir hanya paras lutut sahaja. Kejadian berlaku terlalu pantas, memang tidak ada tanda-tanda (banjir lumpur) sebab sebelum itu hanya hujan renyai sahaja.

"Keadaan rumah saya dipenuhi dengan lumpur tebal dan sudah tentu mengambil masa agak lama untuk dibersihkan. Motosikal serta barangan rumah dan elektrik memang sudah rosak semuanya," kata Shahrizal yang bekerja sebagai tukang cuci di Sekolah Kebangsaan Ulu Slim di sini.

Beliau yang reda dengan bencana dialami itu berkata dia akan mendapatkan pertolongan dari rakan-rakan serta keluarganya untuk membersihkan rumahnya yang terjejas dengan banjir lumpur.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang Jumaat lepas, hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan di daerah Muallim dinaiki air berserta insiden kepala air mengakibatkan ramai penduduk terperangkap.

Setakat 2 petang tadi, seramai 100 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di PPS Masjid Jamek Kampung Pasir, manakala PPS Masjid Jamek Slim Village ditutup sepenuhnya pada 1 tengah hari tadi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan