AM > BERITA

Mempertingkatkan Hak Wanita Tanggungjawab Bersama - Raja Permaisuri Agong

25/08/2024 07:46 PM

KUALA LUMPUR,  25 Ogos (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah menjadi tanggungjawab kepada semua pihak untuk meningkatkan hak wanita bagi memastikan golongan itu dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam masyarakat

Seri Paduka Baginda bertitah sejak 1962, susulan sistem pendidikan dan penjagaan kesihatan yang semakin baik, wanita di Malaysia telah menjadi sebahagian daripada tenaga kerja sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosial serta ekonomi negara. 

Bagaimanapun, Raja Zarith Sofia bertitah ramai wanita masih tidak dapat meneruskan kerjaya mereka walaupun berpendidikan tinggi dan terdapat pelbagai dasar yang mesra wanita atau keluarga serta insentif diperkenalkan yang menggalakkan penyertaan mereka di tempat kerja.

“Sering kali wanita terpaksa berhenti kerja, selalunya disebabkan untuk menjaga anak atau orang tua mereka atau ahli keluarga yang memerlukan penjagaan khusus. Apabila keadaan itu berlaku, biasanya tiada ahli keluarga lain yang membantu mereka.

“Wanita terpaksa menjadi penjaga walaupun tanpa latihan khusus. Kebanyakan fasiliti penjagaan seperti pendidikan prasekolah dan rumah penjagaan orang tua pula, biasanya di luar kemampuan kewangan kebanyakan keluarga,” titah Raja Permaisuri Agong ketika berucap sempena sambutan Hari Wanita di sini hari ini. 

Titah Raja Zarith Sofiah penjagaan adalah keperluan asas bagi manusia, oleh itu semua pihak perlu menangani pelbagai isu yang timbul ketika menjaga keluarga 

Seri Paduka Baginda bertitah keperluan itu lebih mendesak apabila penduduk negara ini semakin menua dan terdapat peningkatan bilangan kanak-kanak dengan keperluan khas termasuk autisme, cerebral palsy dan sindrom Down.

Raja Permaisuri Agong turut menekankan mengenai kepentingan untuk tidak mengabaikan kumpulan rentan seperti kanak-kanak tanpa negara, pelarian dan pekerja migran yang aspek penjagaan serta keperluan mereka mungkin terlepas pandang.

“Dalam sebuah masyarakat yang prihatin, semua orang harus dilayan sama rata dengan bermaruah dan terhormat. Kita perlu berusaha memastikan tiada sesiapa yang terpinggir. 

“Setiap orang perlu mempunyai akses kepada keperluan asas dan anak-anak kita sepatutnya mendapat peluang lebih baik berbanding apa yang kita ada. Mereka yang tidak dapat menjaga diri mesti diberi perhatian,” titah Raja Zarith Sofiah.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap ramai rakyat di negara ini yang terus susah menyebabkan mereka kelaparan, sakit, kurang mendapat pelajaran, menganggur, hidup gelandangan, terabai malah dibuang keluarga dan saudara-mara.

“Kita perlu menangani isu ini dengan serius. Membina masyarakat yang prihatin adalah cabaran yang perlu dihadapi kerana ia memberi impak positif pada sosioekonomi.

“Terdapat banyak aspek penjagaan yang perlu kita selidiki. Ini termasuk nilai ekonomi dalam penjagaan, rangka kerja pengawalseliaan untuk penjagaan berkualiti, selamat dan beretika serta program bagi memastikan tiada sesiapa yang terpinggir,” titah Seri Paduka Baginda.

Mengenai Forum Ekonomi Penjagaan Malaysia 2 (MCEF2.0) yang diadakan sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan, Raja Zarith Sofiah menzahirkan keyakinan bahawa dengan pengalaman luas dalam penjagaan dari lahir hingga akhir hayat, setiap peserta mempunyai pandangan bernas tentang kualiti dan nilai-nilai moral penting diperlukan bagi penjaga.

Turut hadir pada majlis itu Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Profesor Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan