AM > BERITA

Marrybrown Sasar Buka Lebih Banyak Cawangan, Kekal Identiti Malaysia

26/08/2024 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Pengendali rangkaian restoran makanan segera Marrybrown Sdn Bhd (Marrybrown) menyasarkan membuka lebih banyak cawangan di lokasi utama bagi memastikan jenama itu boleh diakses oleh semua, kata Pengarah Eksekutif Kumpulan Datuk Joshua Liew.

Beliau berkata syarikat itu juga komited untuk terus membangunkan menu baharu yang memenuhi cita rasa moden sambil mengekalkan warisan Malaysia.

“Di peringkat antarabangsa, kami sedang meneroka pasaran baharu dan mengembangkan kehadiran dalam pasaran sedia ada. Matlamat kami ialah untuk memperkenalkan dunia kepada rasa masakan Malaysia sekali gus meletakkan Marrybrown sebagai jenama halal terkemuka di seluruh dunia.

“Ketika kami dalam proses berkembang, kami tetap komited mengekalkan kualiti dan keaslian yang sinonim dengan nama Marrybrown,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Liew, meskipun sedang mengembangkan jejaknya di pentas global, mengekalkan identiti Malaysia tetap menjadi keutamaan Marrybrown.

Beliau berkata perkara itu mencerminkan nilai kepelbagaian dan kemegahan Malaysia yang terdapat pada Marrybrown, selari tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.

Liew berkata Marrybrown bukan sekadar menyajikan makanan tetapi turut menaikkan semangat cintakan negara.

“Warisan Malaysia adalah asas kepada jenama kami dan kami mahu memeliharanya. Walaupun kami menyesuaikan diri dengan pasaran baharu dan cita rasa yang pelbagai, sama ada melalui penawaran menu, gaya perkhidmatan atau nilai jenama, kami memastikan intipati masakan dan budaya Malaysia kekal sebagai teras kepada Marrybrown, tidak kira di mana kami beroperasi.

“Selain itu, falsafah perkhidmatan kami yang berakar umbi kepada semangat mesra yang menjadi resam rakyat Malaysia, kekal konsisten di semua cawangan kami. Dengan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip ini, kami telah menjadikan Marrybrown sebagai ikon Malaysia, membawa rasa Malaysia kepada rakyat yang berada di luar negara selain memperkenalkan dunia kepada kekayaan rasa negara kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan