AM > BERITA

Malaysia Perlu 62,000 Orang Kompeten Jayakan Usaha Penjanaan TBB Menjelang 2050

26/08/2024 03:27 PM

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Bernama) -- Malaysia memerlukan 62,000 orang kompeten bagi merealisasikan usaha menggerakkan penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) sehingga 70 peratus atau 56 GigaWatt (GW) dalam sektor tenaga pada tahun 2050.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata angka itu berdasarkan kepada unjuran peningkatan teknologi peralihan tenaga.

“Justeru, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing.

“Inisiatif Suruhanjaya Tenaga bagi melahirkan orang kompeten menerusi TVET, merupakan langkah ke hadapan untuk memastikan graduan kita bukan sahaja mahir dalam teori, tetapi juga kompeten dalam pelaksanaan praktikal di lapangan,” katanya ketika berucap pada Majlis TVET Competent Suruhanjaya Tenaga (ST) - Energy Transition Catalyst, di sini hari ini.

Beliau berkata peranan TVET tersebut sejajar dengan inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dengan membangunkan program kemahiran hijau di samping menambah baik program TVET serta pendidikan tinggi bagi sektor hijau.

Majlis TVET Competent ST bertujuan memberi pengiktirafan kepada institusi yang ditauliah oleh pihak ST, untuk mengendalikan kursus dan peperiksaan kekompetenan bagi elektrik dan gas.

Program itu juga bertujuan mendidik dan mempromosikan keselamatan elektrik dan gas berpaip kepada pelajar, dengan matlamat melahirkan lebih ramai orang kompeten dan bidang elektrik dan gas.

Fadillah berkata bagi memastikan pembangunan keupayaan dan modal insan yang kompeten untuk menyokong agenda peralihan tenaga, kerajaan komited untuk terus memperkasakan proses akreditasi sedia ada yang berfokus kepada TBB.

“Oleh itu, pelaksanaan Program TVET-ST ini akan mewujudkan rangka kerja yang kukuh bagi pembangunan kekompetenan, pemerakuan dan pentauliahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ST Datuk Abdul Razib Dawood dalam ucapannya berkata secara kumulatif sehingga 2023, sebanyak 164,398 Perakuan Kekompetenan Elektrik dan 1,281 Perakuan Kekompetenan Gas telah dikeluarkan ST.

Beliau berkata sehingga Ogos 2024, sebanyak 140 institusi latihan telah menerima sijil pentauliahan ST bagi mengendalikan kursus kekompetenan di seluruh Malaysia, merangkumi institusi awam dan swasta antaranya Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Giatmara, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan TNB Integrated Learning Solution (ILSAS).

“ST menyokong penuh hasrat kerajaan dalam mentransformasi dan memperkasakan TVET di negara ini dengan melahirkan orang kompeten elektrik yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkualiti di pasaran negara.

“Sehubungan itu, saya yakin kita akan dapat melahirkan orang kompeten yang berkualiti dan mampan, bagi memenuhi permintaan dan keperluan industri yang memerlukan tenaga mahir dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, selaras dengan globalisasi dan kemajuan teknologi yang semakin pesat,” katanya.

ST yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 itu, bertanggungjawab dalam proses akreditasi institusi bertauliah serta proses pemerakuan orang kompeten elektrik dan gas.

Pengendalian oleh orang kompeten di pepasangan elektrik dan gas berpaip tersebut, selaras dengan kehendak Akta Bekalan Elektrik 1990, Akta Bekalan Gas 1993, Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 dan Peraturan-Peraturan Gas 1997.

Pada majlis sama turut termeterai satu memorandum persefahaman antara ST dan Energy Commission of Sabah (Ecos) bertujuan mengeratkan kerjasama dan kolaborasi antara kedua-dua badan berkenaan, serta mewujudkan persekitaran yang kondusif dalam industri elektrik dan gas.

MoU itu ditandatangani Abdul Razib dan CEO Ecos Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid, disaksikan Fadillah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan