AM > BERITA

Perak Akan Kenal Pasti Punca Kejadian Kepala Air Di Ulu Slim

26/08/2024 05:29 PM

IPOH, 26 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak akan mengenal pasti punca kejadian kepala air di Ulu Slim, Muallim sama ada ia disebabkan pembersihan kawasan hutan untuk pertanian.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) meletakkan syarat wajib iaitu pihak yang ingin membangunkan tanah bagi tujuan perladangan perlu memohon Kebenaran Merancang (KM).

“Jadi, (pihak terlibat) sepatutnya mematuhi (syarat), kena mohon KM kepada PLANMalaysia, kalau mereka tak buat itu, mereka gagal.

“(Pembersihan kawasan hutan) di bawah PLANMalaysia, kena ada EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar), kalau gagal, mereka akan didenda. Kita akan bincang dalam Mesyuarat Exco pada Rabu ini untuk melihat kesannya sebab kejadian kepala air ini memberikan iktibar kepada negeri, bukan sahaja di Slim,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan menjalankan siasatan mengenai pembukaan ladang durian di Kampung Pasir, Slim River yang baru-baru ini dilanda bencana kepala air.

Ditanya jika sisa-sisa kayu yang dibawa arus dalam kejadian kepala air itu disebabkan aktiviti pembersihan kawasan untuk tujuan pertanian, Saarani berkata laporan Jabatan Perhutanan Negeri Perak menyatakan ia bukan disebabkan aktiviti pembalakan.

“Meskipun ada kayu itu, ia kayu lama bukan pembalakan baharu, tetapi kita pun tak boleh nak menafikan jika terdapat orang yang membersihkan hutan untuk tujuan pertanian,” katanya.

Semalam, media melaporkan sebanyak 1,000 pokok durian Musang King akan ditanam di kawasan tanah seluas 43 hektar membabitkan tiga fasa di Kampung Pasir, Slim River.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan