AM > BERITA

PPS Di Selangor Perlu Diteliti, Pastikan Selesa Untuk Kegunaan Mangsa Bencana

26/08/2024 08:37 PM

SHAH ALAM, 26 Ogos (Bernama) -- Keadaan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor perlu diteliti semula bagi memastikan ia selesa untuk digunakan oleh mangsa bencana.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata ini kerana terdapat  PPS yang dikenal pasti agak daif dengan kemudahannya tidak mesra warga emas serta orang kurang upaya (OKU) untuk ditempatkan ketika bencana.

“Ketika banjir di Kampung Merbau Sempak di Sungai Buloh sebelum ini, saya dapati ada PPS dalam keadaan daif dengan tandas tidak boleh digunakan menyebabkan warga emas dan OKU terpaksa ke tandas yang berada di aras lebih tinggi serta jauh.

“Jadi saya usulkan supaya diteliti semula keadaan semua premis yang dijadikan PPS ini. Walaupun kita ingin menyelamatkan mereka dengan ditempatkan di PPS, tetapi premis itu mesti dalam keadaan siap siaga,” katanya mengulas persediaan PPS di Selangor bagi menghadapi situasi bencana luar jangka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Independent Living Support Centre (ILSC) kali kedua di sini hari ini.  

Dalam perkembangan lain, Anfaal berkata kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menambah kursus pengajian bagi program ILSC berdasarkan keperluan industri.

Beliau berkata program latihan dan kemahiran itu disertai 57 belia golongan OKU berusia 18 hingga 25 tahun yang dipilih berdasarkan kriteria tertentu.

Beliau berkata setakat ini terdapat empat program atau kursus iaitu bakeri, barista, teknologi maklumat dan hospitaliti yang ditawarkan menerusi program itu dengan kerjasama Rumah Amal Cheshire, Kementerian Belia dan Sukan serta Institut Kemahiran Belia Negara.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan