AM > BERITA

Tabung Kasih @HAWANA: Bernama Berkolaborasi Dengan GKMM, Kenal Pasti Pengamal Media Perlu Bantuan

27/08/2024 12:16 AM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan berkolaborasi dengan Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) bagi mendapatkan maklumat mengenai  pengamal atau veteran media yang memerlukan bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata pada tahun ini, inisiatif itu menyasarkan 200 penerima sumbangan.

Setakat ini, seramai 142 rakan media menerima manfaat sejak ia diperkenal pada April tahun lepas. 

“Harapan kita untuk berkolaborasi dengan GKMM dapat membantu dari segi menguar-uarkan kepada rakan media atau bekas pengamal media berkaitan tabung ini dan juga kriteria yang ditetapkan. 

“Namun yang penting kita hendak mendapatkan dahulu maklumat pemohon kerana proses mendapatkan kelulusan dan sebagainya mengambil masa sehingga dua minggu dan kita harap GKMM dapat membantu,” katanya selepas menerima kunjungan hormat ahli jawatankuasa GKMM ke atas Sekretariat Tabung Kasih@HAWANA di Wisma Bernama hari ini. 

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz.

Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bagi menyantuni wartawan dan petugas media yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan menerusi Bernama sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu serta menyantuni wartawan dan petugas media yang masih dalam perkhidmatan atau telah bersara.

Presiden GKMM Mohamad Fauzi Ishak pula berkata kelab media negeri yang bernaung di bawah gabungan itu sedia membantu mengesan petugas yang memerlukan bantuan.

“Kita juga akan membantu pihak Bernama agar dapat mempercepat dan memudahkan lagi proses menerima bantuan.

 “Tabung ni merupakan kaedah yang amat baik sekali untuk kebajikan keseluruhan media di Malaysia.  Harapan saya agar kerajaan meneruskan tabung ini sebab ia diilhamkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan