AM > BERITA

Santan Perkenal Kempen Club Zero, Sediakan Pilihan Makanan Sihat Untuk Penumpang AirAsia

26/08/2024 10:13 PM

SEPANG, 26 Ogos (Bernama) -- Santan, anak syarikat katering dalam penerbangan serta makanan dan minuman Capital A, telah melancarkan ‘Club Zero’ iaitu kempen inovatif bagi mempromosikan penggunaan gula yang lebih rendah kepada para penumpangnya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Santan Catherine Goh berkata Club Zero mewakili kemuncak usaha berterusan syarikat itu agar selaras dengan keutamaan pengguna yang semakin mementingkan kesihatan serta mencerminkan misinya untuk merevolusi pilihan makanan dan minuman.

“Club Zero ialah kempen Santan bagi menyediakan pilihan lebih sihat dengan memperkenal alternatif gula sifar kalori. Mesej utama kami ialah pilihan yang lebih sihat masih lazat.

“Kami berusaha untuk memotivasikan pengguna untuk memahami bahawa produk dengan kandungan gula lebih rendah masih sedap sekali gus memberikan keyakinan dan menggalakkan penggunaan produk kurang gula. Matlamat kami adalah untuk mencetuskan perubahan positif dalam hidup mereka," katanya semasa majlis pelancaran Club Zero di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Dr Dzulkefly Ahmad, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh serta CEO Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes.

Sambil menekankan menu, Goh berkata antara makanan dan minuman bergula sifar kalori ialah ZERO watermelon coconut latte, ZERO pistachio coconut latte, ZERO watermelon coconut milk, ZERO original milk tea with konjac pearl dan ZERO Chocolate Indulgence Cake.

“Gula sifar kalori merujuk kepada pemanis yang meniru rasa gula tanpa kalori yang dikaitkan dengan gula tradisional.

"Pemanis ini membantu mengurangkan pengambilan kalori dan pada masa sama, mengekalkan kemanisan serta popular untuk pengurusan berat badan dan pengawalan gula dalam darah,” katanya.

Dzulkefly pula memuji Santan kerana menganjurkan Club Zero yang disifatkan beliau sebagai kempen inovatif pertama di negara ini.

Beliau berharap lebih banyak syarikat akan memulakan inisiatif serupa bagi menyokong misi Kementerian Kesihatan untuk menangani obesiti di negara ini.

Club Zero adalah kempen yang melibatkan kerjasama antara Santan dengan Secret Recipe dan Tealive.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan