AM > BERITA

Tanah Jerlus: JKR Diarah Beri Bantuan Teknologi - Nanta

27/08/2024 12:41 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarah memberikan bantuan sokongan teknologi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata walaupun kejadian tanah jerlus berlaku di kawasan seliaan Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun kementerian sentiasa akan memberikan kerjasama memandangkan ia adalah kejadian bencana.

“Saya telah arahkan JKR supaya memberikan bantuan dari segi teknologi untuk menyokong seluruh pasukan (SAR) kerana kita mempunyai kepakaran,” katanya ringkas dalam audio yang dikongsikan kepada media hari ini.

Pada Jumaat lepas, wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan di kawasan berkenaan untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian itu berlaku.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan