AM > BERITA

Kesan Sejarah 'Battle Of Slim' Di Jambatan Lama Sungai Slim Akan Disimpan Di Muzium

27/08/2024 03:25 PM

Oleh Razif Rosli

TANJUNG MALIM, 27 Ogos (Bernama) -- Kesan tinggalan sejarah berkaitan pertempuran tentera British dan Jepun yang dikenali sebagai ‘Battle of Slim’ semasa perang dunia kedua di Jambatan Lama Sungai Slim di sini, perlu dibawa keluar dari runtuhan akibat kejadian kepala air Jumaat lepas, dan dipamerkan untuk tatapan generasi akan datang.

Pengarah Muzium Pendidikan Nasional UPSI Prof Dr Tajul Shuhaizam Said berkata ia merupakan kesan peristiwa penting di Ladang Estet Cluney pada tahun 1942, yang melibatkan pertempuran antara 3,200 orang tentera British dan 100 orang tentera Jepun itu pada tahun 1942 itu.

"Terdapat beberapa kesan tembakan peluru serta bedilan meriam ketika pertempuran berlangsung di jambatan yang dibina sejak zaman pra kemerdekaan itu.

"Memang terdapat kesan rongga-rongga bedilan peluru dan meriam yang boleh dilihat mata kasar, jadi amat rugi jika ia dibiarkan lenyap jika tidak dikeluarkan dari lokasi runtuhan," katanya ketika ditemui Bernama Bernama, di sini.

Sehubungan itu beliau berkata pihaknya telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Mualim untuk memindahkan artifak kesan tinggalan sejarah itu dan dibawa ke Muzium Pendidikan Nasional UPSI atau sekitar Mualim. 

Beliau berkata setakat ini mereka diberi kebenaran mengambil bahagian tiga atau empat kesan bedilan meriam atau peluru yang menembusi besi jambatan tersebut malah terdapat kesan pertempuran juga pada struktur jambatan yang rebah ke sungai.

“Esok pihak saya dan Malaya Historical Group (MHG) akan turun ke lokasi untuk bantu kita kenal pasti lebih tepat kesan artifak ini," katanya. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam Jumaat lepas, jambatan yang juga dikenali sebagai Jambatan Slim Village sepanjang 77 meter dan 7.5 meter lebar yang menghubungkan Pekan Slim Village dengan Bandar Slim River dan Bandar Behrang itu runtuh akibat kejadian kepala air.

Sementara itu Tajul Shuhaizam berkata pihak UPSI berhasrat memupuk kesedaran patriotisme dengan mengajak orang ramai menghayati peristiwa pertempuran bersejarah itu.

"Jika kita imbau sejarah Battle of Slim ini, pertempuran di Jambatan Slim Village itu merupakan titik tolak pengakhiran harapan tentera British bagi mempertahankan Tanah Melayu akibat korban tinggi dan kehilangan sejumlah besar peralatan ketenteraan.

"Pertempuran itu terkenal kerana kejutan yang dilakukan sejumlah kecil tentera Jepun yang berjalan dan menggunakan kereta kebal melakukan serangan hendap pada waktu subuh hingga memaksa mereka berundur, dan kemudian Jepun berjaya sampai ke Kuala Lumpur," katanya.

Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Nazirah Lee berkata melalui kajian dan penulisan-penulisan sebelum ini, ‘Batlle Of Slim’ pada 7 Jan 1942 itu diketuai Major Toyosaku Shimada, yang bertindak menggunakan 17 kereta kebal sederhana jenis Type 97 dan tiga kereta kebal ringan jenis Type 95 Ha-Go. 

Ia terjadi pada jam 3.30 pagi waktu tempatan, di mana pasukan Shimada memulakan serangan mortar dan meriam ke atas kedudukan British yang diduduki oleh Rejimen ke-4/19th Hyderabad pimpinan Major Alan Davidson Brown.

Pertempuran itu juga menjadi titik tolak serta membuka laluan tentera matahari terbit itu untuk mara ke Kuala Lumpur, ibu kota Malaya yang berjaya ditawan pada 11 Jan 1942 tanpa tentangan selepas British berundur ke Johor. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan