AM > BERITA

Jangan Bersikap ‘Double Standard’ Bila Disiasat - Ahmad Zahid

27/08/2024 02:08 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu semua pihak tidak mengambil sikap ‘berat sebelah’ dengan mengatakan kerajaan bertindak tidak adil apabila mereka disiasat.

Beliau berkata ini kerana realitinya ialah Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mendakwa sesiapa sahaja.

“Kalau terkena pada mereka (dikatanya) tergesa-gesa, (tapi) kalau terkena pada saya (mereka kata) ‘ini satu siasatan sangat komprehensif’. Realitinya - bila anda buat salah, siasatan dilakukan, Peguam Negara mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mendakwa.

“Dulu saya pernah didakwa sebelum siasatan selesai, itu sebabnya dalam saya menghadapi pertuduhan itu, pindaan dibuat terhadap tuduhan, ertinya (siasatan) tidak selesai.

“Yang saya, dia kata kerajaan berlaku adil, (tapi) bila kena mereka.. (mereka kata) kerajaan tidak berlaku adil, double standard.. janganlah,” katanya kepada  pemberita selepas merasmikan Seminar Teknikal Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam Bersatu mendakwa siasatan berhubung ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ke-16, dilakukan secara tergesa-gesa.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pendakwaan segera ke atas bekas Perdana Menteri itu juga menimbulkan banyak lagi persoalan.

Muhyiddin yang didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan hari ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebut perkataan yang menghasut berkaitan kaum, agama dan raja (3R) dalam ucapannya ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan