AM > BERITA

MAQIS Arah 251 Tan Kayu Berkulat Dihantar Balik Ke Latvia

27/08/2024 04:32 PM

BUTTERWORTH,  27 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang mengarahkan dagangan kayu seberat 251 tan metrik bernilai RM203,726 yang berasal dari Latvia berpatah balik ke negara asal, hari ini.

MAQIS Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan kesemua kayu itu ditahan dan tidak dibenarkan kemasukan ke dalam negara selepas pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh pihaknya menemukan kulat Trichoderma sp.

"Pemeriksaan pihak MAQIS menemukan kulat Trichoderma sp pada kayu jenis White Birch Logs (Betula Pendula) di dalam 10 kontena yang ingin dibawa masuk ke negara ini sebelum kesemua 251 tan metrik kayu itu diarah berpatah balik ke negara asal.

"Kawalan terhadap perosak dan penyakit seperti kulat kayu adalah penting bagi memastikan industri pertanian negara terpelihara terutamanya melibatkan tanaman ladang dan lain-lain," menurut kenyataan itu.

Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma yang mempunyai perosak ialah kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan