AM > BERITA

Hampir 200 Warga SK Taman Pelangi Indah Ganding Bahu Hasilkan Jalur Gemilang Gergasi

27/08/2024 07:48 PM

JOHOR BAHRU, 27 Ogos (Bernama) -- Demi menzahirkan semangat menyambut bulan kemerdekaan, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Indah di sini mengambil inisiatif menghasilkan Jalur Gemilang gergasi setinggi 10 meter dan 20 meter lebar yang megah berkibar di sekolah berkenaan.

Dianggarkan hampir 200 warga sekolah termasuk guru, kakitangan, murid, pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan berganding bahu bagi menghasilkan bendera itu dalam masa 23 hari.

Guru Besar SK Taman Pelangi Indah A. Kumaran berkata proses yang bermula pada 9 Julai itu melibatkan tujuh fasa pembahagian kerja dengan menggunakan tiga mesin jahit, dua mesin jahit tepi serta jahitan tangan.

“Bendera ini bukan sahaja dihasilkan secara manual, tetapi juga melibatkan penggunaan pengkomputeran supaya ia dibuat mengikut spesifikasi antaranya bagi memastikan dari segi ukuran dan corak semuanya betul,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sekolah itu di sini hari ini.

Beliau berkata proses pembuatan bendera menggunakan 332 meter kain seberat hampir 50 kilogram itu sepenuhnya diusahakan oleh guru-guru dan kakitangan serta dibantu murid-murid. 

Kumaran berkata idea bagi mengusahakan pembuatan bendera gergasi itu tercetus kerana mahu tampil dengan kelainan sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini, selain daripada memasang Jalur Gemilang bersaiz biasa di sekitar sekolah seperti kebiasaannya.

Cetusan idea itu turut dijayakan hasil sokongan dan maklumat yang dikongsi Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang serta sumbangan daripada ibu bapa dan dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), tambah Kumaran.

Beliau dalam pada itu berharap agar usaha bagi menghasilkan bendera gergasi itu dapat menyemat memori berharga kepada semua warga sekolah serta mewujudkan semangat berpasukan dan perpaduan antara mereka.

“Mungkin sebelum ini kalau ada projek besar di sekolah, semua tidak terlibat, tetapi kali ini semua warga sekolah terlibat. 

“Justeru itu pada masa hadapan, mungkin kita akan teruskan lagi usaha seperti ini dan pasang bendera gergasi di luar pula, jadi semua komuniti penduduk setempat dapat melihatnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan