AM > BERITA

PM Anwar Terima Kunjungan Hormat Dr Tawfiq, Bincang Tambah Baik Urusan Haji Dan Umrah

27/08/2024 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah bersama delegasi di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Menurut hantaran di Facebook, Anwar berkata dalam kunjungan hormat itu perbincangan mereka seputar perkembangan dan penambahbaikan urusan rakyat Malaysia yang menunaikan ibadat haji dan umrah, khususnya dengan kerjasama kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata perbincangan turut menyentuh usaha memperkukuhkan hubungan perniagaan antara Malaysia dan Arab Saudi, terutamanya dalam sektor industri penerbangan dan pendidikan tinggi.

“Saya juga menyambut baik penganjuran Expo Haji 2025 oleh Arab Saudi tidak lama lagi. Lembaga Tabung Haji (TH) turut dijemput dan diberi penghormatan berkongsi pengalaman mengurus dan melaksanakan operasi Haji Malaysia di dalam acara ini kelak.

“Semoga pertemuan ini menjelmakan natijah yang baik khususnya buat jemaah haji dan umrah serta rakyat Malaysia secara umumnya, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan persaudaraan Malaysia dengan Arab Saudi,” kata beliau.

Turut hadir semasa kunjungan hormat itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Pengerusi TH Tan Sri Rashid Hussain.

Dr Tawfiq dalam rangka lawatan ke Malaysia bermula semalam hingga esok bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan