BERITA TERGEMPAR   ACE Market-bound Solar District Cooling Group Bhd aims to raise RM45.09 million from IPO; scheduled to list on Sept 19, 2024 | 
 AM > BERITA

Kerajaan Madani: Berkenaan Kemajuan, Palestin Dan Janji

28/08/2024 11:06 AM

Oleh Danial Rahman

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kritikan terhadap keputusan kerajaan Malaysia untuk menerima kedatangan 121 rakyat Palestin termasuk 41 yang cedera, adalah mengejutkan memandangkan Malaysia mempunyai sejarah yang membanggakan dalam memberi sokongan kemanusiaan kepada pelarian dan individu yang teraniaya.

Pada 1970-an, negara menyediakan tempat tinggal kepada lebih 250,000 pelarian Vietnam yang tiba dengan bot. Pada 1992, Malaysia menawarkan perlindungan kepada rakyat Bosnia yang melarikan diri daripada genosid. Sejak 2015, Malaysia menerima lebih 3,000 pelarian Syria yang menyelamatkan diri daripada peperangan. Tradisi ini merentas negeri-negeri dari Terengganu ke Kuala Lumpur, Sarawak hingga Sabah.

Gelombang ulasan baru-baru ini, khususnya melalui media sosial dan blog telah muncul hampir serentak, menyasarkan isyarat kemanusiaan terhadap rakyat Palestin. Mereka mempersoalkan tumpuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara ini dan penglibatan global lain, mendesak beliau agar memberi keutamaan terhadap isu-isu di dalam negara.

Pengkritik ini berpendapat bahawa kerajaan mengabaikan keperluan rakyat Malaysia dalam bidang seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, ekonomi dan kebebasan beragama.

Tetapi, adakah kritikan ini wajar atau benar?

Tidak Terlihat namun Tetap Dikenang: Pembaharuan yang sedang Dibuat 

Hampir dua tahun memegang jawatan, kerajaan MADANI dicetuskan Anwar yang berteraskan nilai utama, telah memulakan pembaharuan, termasuk yang dielakkan pentadbiran terdahulu. Pembaharuan itu merangkumi bidang ekonomi, pendidikan, sosial, birokrasi dan politik.

Dari segi ekonomi, hasilnya jelas.

Setakat Ogos, ringgit bertambah kukuh ke paras tertinggi hampir 28 bulan berbanding USD, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku tahunan sebanyak 5.9 peratus melepasi unjuran, dan rekod pelaburan langsung asing (FDI) menunjukkan keyakinan global terhadap Malaysia. Artikel Reuters baru-baru ini menekankan ekonomi Malaysia mengatasi banyak negara serantau.

Pencapaian ini bukanlah secara kebetulan, ia hasil daripada pilihan dasar terancang yang kadangkala sukar.

Sebagai contoh, pembaharuan subsidi — yang telah lama dianggap tidak boleh disentuh dari segi politik — dilaksanakan untuk memperuntukkan dana awam dengan lebih baik kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Tahun ini, kadar cukai pendapatan dikurangkan untuk kumpulan pendapatan M40 dan Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperkenalkan untuk menyokong keperluan kewangan.

Dalam perkhidmatan awam, pelantikan “orang luar” sebagai Ketua Setiausaha Negara ialah langkah berani dan tidak dijangka, menandakan pembaharuan terhadap birokrasi yang pernah dibanggakan dahulu.

Kenaikan pangkat dengan prestasi lebih tinggi, dasar pemisah lebih ketat, dan akauntabiliti rasuah yang diletakkan pada pihak atasan, adalah antara pembaharuan birokrasi yang diperkenalkan Anwar.

Bagi pendidikan, semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum, dijamin tempat dalam program matrikulasi. Selain itu, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diberi perhatian yang diperlukan untuk mendorong Malaysia menjadi negara berteknologi tinggi dan berkemahiran tinggi.

Politik pula, kejayaan kerajaan MADANI membentuk dan mengekalkan Kerajaan Perpaduan telah memberikan kestabilan.

Berbanding negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, kestabilan politik negara ini membolehkan kita bertahan daripada kejutan geopolitik dan geoekonomi luaran, menyumbang kepada kewujudan persekitaran yang boleh diramal untuk modal pelabur.

Mengakui Ketidaksempurnaan

Adalah tidak realistik untuk menuntut kesempurnaan.

Malaysia masih menghadapi cabaran yang kompleks, termasuk rasuah, tadbir urus yang baik dan pergolakan isu 3R (kaum, agama, raja). Pembaharuan undang-undang akan datang mengenai kewarganegaraan dan peraturan media sosial menyebabkan organisasi masyarakat sivil bimbang tentang kesannya terhadap pelarian (kerana kita belum menandatangani konvensyen pelarian) dan golongan tanpa kewarganegaraan, serta isu penapisan.

Perjalanan untuk pembaharuan masih panjang, dengan rintangan yang tidak dapat dielakkan. Bagaimanapun, kemajuan yang dicapai setakat ini tidak seharusnya dipandang ringan.

Kita melihat ke Eropah dan menyaksikan kebangkitan politik haluan kanan, dengan penolakan golongan minoriti ialah peringatan jelas tentang bahaya sikap mementingkan diri dan kurang peduli tentang masalah yang dihadapi negara lain. Kita melihat ke United Kingdom (UK) dan menyaksikan rusuhan kaum dicetuskan oleh berita palsu yang memfitnah pencari suaka. Di Amerika Syarikat pula, kita melihat sikap dwistandard apabila menyentuh mengenai genosid di Gaza.

Oleh itu, pengalaman kolektif Malaysia — dalam menegakkan kemakmuran kaum dan persefahaman agama mengatasi segalanya — ialah sesuatu yang perlu dipegang dengan teguh. Kebimbangan dan rasa tidak selamat kaum Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan-Dusun, Iban, Bidayuh, Melanau dan semua masyarakat di Malaysia, sememangnya menjadi keutamaan.

Malah, Eropah, negara Barat dan banyak negara lain di seluruh dunia dapat belajar sesuatu dari Malaysia. Jangan kita lupa, amat sedikit negara yang memiliki komposisi budaya yang pelbagai seperti negara ini.

Elakkan Terjerumus ke dalam Perangkap Maklumat Salah dan Maklumat Palsu 

Satu mesej terakhir ialah jangan percaya akan maklumat salah dan maklumat palsu, dan jangan biarkan prasangka kaum dan agama menguasai diri kita. Apabila berasa ragu-ragu, sahkan – Internet berada di hujung jari kita.

Baru-baru ini dalam WhatsApp, satu mesej tular mendakwa Jalan Yap Ah Loy ditukar kepada Jalan Palestin. Sebenarnya, nama asal jalan terbabit ialah Jalan Raja Laut 1 dan perubahan itu berlaku pada 2020. Mesej berkenaan kelihatan memecahbelahkan masyarakat Cina Malaysia dengan rakyat Palestin, yang kononnya diutamakan kerana mereka orang Islam.

Rasa tidak percaya yang jelas ini amat membimbangkan dan bahaya. Jadi, siapa yang lakukannya? Dan mengapa? Rusuhan di UK didakwa disebabkan oleh hasut maya melalui Internet di Pakistan. Begitulah bahaya maklumat yang salah.

Begitu juga artikel yang mendakwa kerajaan mengutamakan warga asing berbanding rakyat tempatan sering mencampuradukkan isu yang tidak bercanggah.

Malaysia boleh bersikap baik kepada pelarian dan golongan yang sering berpindah, sambil memastikan rakyatnya dilindungi, malah menerima sokongan majoriti.

Membangun ke arah Masa Depan Lebih Baik 

Kita perlu mempertahankan kesederhanaan Malaysia, dan tidak terjebak dalam ekstremisme kaum dan keunggulan agama. Untuk ia berjaya, semua komuniti perlu mencari pemahamam lebih baik tentang jiran mereka, dan kita harus percaya nilai MADANI menjunjung tinggi perkara ini.

Perubahan memerlukan masa. Rom tidak dibina dalam sehari, Zaman Pembaharuan tidak terjadi sekelip mata, dan zaman kegemilangan Islam berlaku secara beransur-ansur. Pada terasnya terdapat individu yang memegang akauntabiliti kerajaan, tetapi juga bekerja bersama-sama untuk masyarakat lebih baik.

Kerajaan MADANI pada masa ini ialah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan hinggalah baru-baru ini, apatah lagi ia hampir mencapai tempoh dua tahun. Kematangan politik pragmatisme menunjukkan kestabilan dan hasil positif dapat dicapai, dan pembaharuan itu bukanlah impian semata-mata.

Lebih penting, ia merupakan asas untuk dibina, dan dengan sokongan ia dapat menjadi kenyataan –   yang diharapkan untuk kita, dan pastinya untuk anak-anak kita dan generasi seterusnya.

-- BERNAMA

 

*Danial Rahman ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI)

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan