AM > BERITA

NGO Lakukan Ritual Keagamaan, Ikhtiar Mangsa Tanah Jerlus Segera Ditemukan

28/08/2024 04:03 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kehadiran empat individu membawa bunga kekwa berwarna kuning menarik perhatian orang ramai yang berada di lokasi kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini tengah hari tadi.

Mereka dilihat hadir ke lokasi kira-kira 1.10 tengah hari sebelum melakukan upacara keagamaan hampir 10 minit, dipercayai sebagai alternatif kepada ikhtiar mencari dan menyelamat wanita warga India yang hilang selepas terlibat dalam kejadian tanah jerlus di situ Jumaat lepas.

Ketika ditemui pemberita, seorang daripada mereka V. T. Vanija memperkenalkan diri sebagai wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia Hindu Sanggam dan Hindu Darma Mamandram yang memaklumkan mereka terpanggil untuk membantu dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Sebentar tadi kami menyanyikan lagu Sivapuranam Thevaram dan Thiruvasanagam. Bunga menurut kepercayaan Hindu, akan dilepaskan ke dalam air sungai untuk disedekahkan kepada mangsa,” katanya kepada pemberita di Jalan Masjid India hari ini. 

Walaupun tidak mempunyai sebarang pertalian keluarga dengan mangsa, Vanija berkata dia bersama beberapa individu lain daripada NGO berkenaan sering menjalankan upacara sebegitu apabila berlaku bencana seperti semasa wabak COVID-19 beberapa tahun lepas.

Terdahulu, mereka turut mengagihkan pek makanan kepada pengamal media dan bertanya khabar kepada orang ramai.

Kejadian tanah jerlus pada Jumaat lepas menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di situ dengan operasi mencari dan menyelamat memasuki hari keenam hari ini. 

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan