AM > BERITA

Syarikat Penerbangan Perlu Kembalikan Bayaran Penuh Jika Lewat Lebih Lima Jam - Loke

28/08/2024 04:42 PM

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Syarikat penerbangan dikehendaki menawarkan pengguna pilihan bayaran balik penuh bagi kelewatan penerbangan lima jam dan lebih kepada penumpang yang tidak mahu meneruskan perjalanan mereka, berkuat kuasa 2 Sept ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perkara itu antara penambahbaikan baharu dalam Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) dilaksanakan Kementerian Pengangkutan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang bakal diwartakan September ini. 

“Untuk gangguan penerbangan yang disebabkan oleh keadaan luar biasa, syarikat penerbangan dikehendaki terlebih dahulu menawarkan bayaran balik dalam mod bayaran asal. 

“Syarikat penerbangan juga boleh menawarkan mod bayaran balik alternatif seperti baucar perjalanan atau credit shell. Bagaimanapun, pengguna mempunyai hak untuk memilih mod bayaran balik yang mereka kehendaki,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata tempoh bayaran balik kepada pengguna ialah selama 30 hari dan ia bergantung pada kaedah pembayaran yang telah dilaksanakan penumpang. 

Loke berkata penambahbaikan lain dalam MACPC ialah bayaran balik mandatori surcaj bahan api, cukai, fi dan caj seperti levi pelepasan, Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC), fi karbon, dan lain-lain. 

“Ini terpakai untuk tiket yang mempunyai nilai bayaran balik dan tiket yang tidak mempunyai nilai bayaran balik bagi penerbangan yang tidak diambil oleh pengguna,” katanya. 

Melalui penambahbaikan baharu itu juga, beliau berkata semua penerbangan yang dibatalkan mesti dikeluarkan daripada semua sistem penempahan, termasuk platform ejen pelancongan dalam talian dan luar talian. 

“Sebarang denied boarding kerana tempahan penerbangan berlebihan perlu dimaklumkan kepada pengguna di kaunter daftar masuk atau di pintu berlepas. Menafikan pengguna yang telah menaiki pesawat adalah dilarang.

“Had masa untuk pengguna mengemukakan aduan kini dilanjutkan daripada satu tahun kepada dua tahun,” katanya.

Berkuat kuasa Januari tahun depan, Loke berkata sebarang perubahan dalam Waktu Perlepasan yang Dijadualkan (STD) mesti dimaklumkan kepada pengguna sekurang-kurangnya dua minggu sebelum waktu perlepasan sebenar melainkan ia disebabkan hal keadaan luar biasa atau masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. 

Beliau berkata kegagalan untuk mematuhi MACPC boleh dikenakan penalti kewangan maksimum sebanyak RM200,000, dan dalam kes ketidakpatuhan kedua atau seterusnya, jumlah 10 kali ganda daripada penalti kewangan pertama akan dikenakan.

Loke berkata sebanyak RM4.7 juta penalti telah dikenakan terhadap syarikat penerbangan kerana kegagalan mematuhi MACPC sejak 2016. 

Beliau berkata melalui penambahbaikan MACPC, pengguna penerbangan boleh mendapat jaminan perlindungan yang dipertingkatkan untuk perjalanan udara. 

“MAVCOM juga akan meneruskan pengawasan terhadap prestasi syarikat penerbangan untuk memastikan pematuhan pada penanda aras industri yang telah ditetapkan bagi manfaat pengguna,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan