AM > BERITA

Projek Pemasangan MCAS Menang Anugerah Pencapaian Keselamatan Jalan Raya Global 2023

28/08/2024 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Projek pemasangan Sistem Amaran Perlanggaran Motosikal (MCAS) dibangunkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sebagai antara usaha meningkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Projek rintis melibatkan penunggang sebenar yang dijalankan bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) itu dipilih memenangi kategori Teknologi, Peralatan & Pembuatan untuk Anugerah Pencapaian Keselamatan Jalan Raya Global 2023 anjuran International Road Federation (IRF) baru-baru ini.

Ketua Pengarah MIROS Prof Madya Dr Siti Zaharah Ishak berkata pembangunan MCAS menjadi satu pencapaian signifikan bagi MIROS dalam usaha institut itu untuk meningkatkan keselamatan jalan raya di seluruh negara.

"Kerjasama antara MIROS dan PLUS melalui projek pemasangan rintis MCAS ini satu penanda aras penting keberhasilan yang mampu dicapai melalui kerjasama strategik dan penglibatan semua pihak berkepentingan.

“Berdasarkan penemuan dan pembuktian impak MCAS terhadap keselamatan penunggang motosikal, kami berharap sistem ini dapat dikembangkan ke peringkat industri dan pasaran dengan akses yang meluas kepada penunggang motosikal," katanya dalam kenyataan bersama MIROS dan PLUS hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata berdasarkan statistik kemalangan PLUS pada tahun lepas, penunggang motosikal menyumbang sebanyak 72 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan maut di lebuh raya.

"PLUS terus komited memperkukuh kerjasama dengan MIROS serta agensi-agensi lain dengan memberi fokus terhadap teknologi dan inovasi keselamatan lebuh raya," katanya.

Dibangunkan MIROS pada 2021 dan pelaksanaan kajian seterusnya dengan kerjasama PLUS pada 2022, MCAS menggunakan teknologi Light Detection & Ranging (LiDAR) untuk mengesan kenderaan atau halangan dari arah hadapan dan memberi amaran visual serta audio kepada penunggang motosikal.

Sebanyak 35 unit MCAS  dipasang secara ubah suai pada motosikal peserta, melibatkan 18 model motosikal pelbagai jenama dan kapasiti enjin dari 100cc hingga 600cc yang didaftarkan dari 2007 hingga 2021.

Sepanjang tempoh pengumpulan data,  MCAS telah diaktifkan sekurang-kurangnya sejauh 125,960 kilometer (km) dan selama 2,850 jam di jalan raya dengan 75 peratus kadar fungsian purata direkodkan. 

Berdasarkan data sejarah perlanggaran yang melibatkan peserta kajian, MCAS membantu mengurangkan hingga 89 peratus daripada jumlah perlanggaran di jalan raya sepanjang tempoh kajian.

Selain itu, peserta kajian melaporkan sekurang-kurangnya 1,013 kejadian hampir berlanggar dengan di  MCAS telah membantu mereka mengelak perlanggaran dengan kenderaan lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan