AM > BERITA

Kes Muhyiddin: Laporan Polis Dibuat Oleh Istana Pahang, Kerajaan Tidak Masuk Campur - Fahmi

28/08/2024 05:39 PM

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Pertuduhan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Akta Hasutan di mahkamah baru-baru ini bukan berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh pihak kerajaan sebaliknya wakil Istana Pahang.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan tidak masuk campur dalam hal itu.

"...penting diingatkan, laporan polis yang asal adalah dari Istana Pahang sama seperti kes hasutan yang dikenakan terhadap Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor)... laporan polis dibuat oleh wakil dari Istana Selangor," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Justeru itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya mengelak daripada membangkitkan isu berkaitan raja, agama dan kaum.

Mengulas mengenai dakwaan kononnya Akta Hasutan dijadikan alat pendakwaan politik ke atas para pemimpin PN, Fahmi berkata perkara itu adalah tidak benar.

Beliau berkata akta itu adalah bagi melindungi Institusi Raja-Raja memandangkan ia tiada forum untuk menjawab tomahan dan berdebat seperti Ahli Parlimen, ahli politik mahupun orang awam.

"Jadi di situ pemikiran dan pendirian kerajaan, kita kena pastikan Institusi Raja-Raja ini bukan hanya berdaulat tapi juga dipertahan," katanya.

Semalam, Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Gua Musang susulan ceramah beliau yang dikatakan menyentuh isu 3R dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri.

Muhyiddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan