AM > BERITA

Carcosa Seri Negara Disyorkan Jadi Galeri Khas Perdana Menteri Malaysia

28/08/2024 06:01 PM

GEORGE TOWN, 28 Ogos (Bernama) -- Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) mengesyorkan supaya Carcosa Seri Negara di ibu negara dijadikan galeri khas menyimpan maklumat dan koleksi kesemua Perdana Menteri Malaysia.

Presiden Pemenang Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata langkah itu secara tidak langsung dapat memastikan bangunan berciri kolonial berkenaan tidak terus dilupakan.

"Carcosa Seri Negara perlu dipulihara sebagai bangunan mercu tanda warisan negara untuk generasi muda, jadi kami di Pemenang berpendapat ia harus dijadikan pusat penyelidikan dan penyimpanan maklumat serta galeri khas menyimpan sejarah kesemua Perdana Menteri Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas mengenai keadaan terkini bangunan itu yang terbiar kosong dimamah usia.

Mohd Yussof turut meminta supaya Carcosa Seri Negara tidak dijual atau diswastakan kerana ia memiliki nilai-nilai sejarah negara.

Carcosa Seri Negara bukan sekadar kediaman rasmi Residen Jeneral British yang pertama bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, malah ia juga venue yang merintis laluan bagi menuntut kemerdekaan negara.

Bangunan Seri Negara menyimpan peristiwa sejarah dengan dokumen-dokumen mengenai pembentukan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani di lokasi itu pada 1948.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan