AM > BERITA

TBM Autonomi Dibangunkan Malaysia Lakar Sejarah Di Sydney

28/08/2024 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Pakej Terowong Barat (WTP) projek Sydney Metro West yang diberikan kepada syarikat Malaysia, Gamuda, baru-baru ini melakar pencapaian penting dengan ketibaan dua mesin pengorek terowong (TBM) di Sydney Olympic Park untuk menyiapkan dua terowong bagi stesen kereta api itu.

Menurut laman web Sydney Metro, penggunaan TBM autonomi ini, dikenali sebagai TBM Betty dan TBM Dorothy dalam projek Metro berkenaan, adalah yang pertama dalam sejarah Australia.

Seperti yang dilaporkan media lain, teknologi autonomi terowong yang telah memenangi pelbagai anugerah itu digunakan bagi projek Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang Laluan Putrajaya pada 2019.

Kerajaan New South Wales (NSW) menganugerahkan kontrak WTP kepada Gamuda pada 2022 menerusi konsortium dengan Laing O’Rourke dan projek itu menyediakan perjalanan efisien antara Greater Parramatta dan CBD Sydney.

TBM Betty yang dinamakan bersempena dengan juara Olimpik Betty Cuthbert, adalah yang pertama tiba di Sydney Olympic Park pada Jun, diikuti TBM Dorothy, sempena nama aktivis hak asasi manusia Dorothy Buckland-Fuller, pada Julai.

Untuk tiba di Sydney Olympic Park, TBM menghabiskan masa 10 bulan menyiapkan terowong sepanjang 4.6 kilometer dari Clyde, iaitu lokasi bagi kemudahan penyimpanan dan penyelenggaraan Sydney Metro West.

TBM Betty dan Dorothy telah menggali kira-kira 857,500 tan bahan, bersamaan dengan 156 kolam renang bersaiz Olimpik, untuk menyiapkan bahagian pertama projek itu.

Ia juga memasang 32,600 segmen konkrit pratuang untuk melapisi dinding terowong baharu.

Menurut Sydney Metro, dalam beberapa bulan akan datang, TBM akan dileraikan, dibawa keluar dari kotak stesen dan diangkut dengan trak kembali ke Clyde, dan akan dilancarkan semula bagi arah bertentangan menuju Westmead.

Kedua-dua TBM dijangka tiba di Westmead pada pertengahan 2025.

Sydney Metro West akan menggandakan kapasiti rel antara Greater Parramatta dan CBD Sydney, serta perkhidmatan metro yang pantas dan boleh dipercayai akan memudahkan perjalanan di seluruh barat Sydney, menghubungkan masyarakat baharu dengan perkhidmatan rel dan menyokong pertumbuhan pekerjaan dan bekalan perumahan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan