AM > BERITA

SMK Sri Kiambang Hasilkan Baja Organik Guna Sayur Terbuang, Hampas Tebu

28/08/2024 07:44 PM

Oleh Noornasrin Salsabila Othman

KOTA BHARU, 28 Ogos (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kiambang di Pasir Mas di sini berjaya menghasilkan baja organik dengan hanya menggunakan empat bahan sayur terbuang, hampas tebu, gula perang dan yis.

Guru Pembimbing Nik Azira Raja Hassan berkata baja organik dikenali 'Kiambang Super Organik' itu  dihasilkan enam pelajar Tingkatan 5 aliran Sains di bawah bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Pelajar terlibat ialah Nor Liyana Dania Kam Sani, Nurul Iman Samsul Kamal, Siti Noraisyah Ramadhaniah Mohd Azri Shah, Rahadatul Aisy Noorhisyam, Mohamad Zul Iman Redzuan Mohd Zawawi dan Muhammad Hariz Hafizuddin Muhamad Pauzi. 

“Baja organik yang dihasilkan ini bukan sahaja mampu menyuburkan tanaman bahkan baik untuk kesihatan binatang ternakan, menghilangkan bau pada kandang ternakan selain mampu membantu proses fotosintesis tanaman sekali gus menyuburkan tanah.

"Proses menghasilkan baja juga agak singkat iaitu sekitar tiga bulan kerana hampas tebu dan sayur terbuang yang diperoleh dikeringkan sebelum diperam bersama gula perang serta yis," katanya kepada Bernama di Program STEM Pitching Fiesta Mini Teaser STEM Kelantan Tahap 3 Kohort 1 di Dewan Yayasan Islam Kelantan di sini hari ini. 

Beliau berkata nisbah air rendaman serta sukatan bahan sangat penting untuk memastikan baja yang dihasilkan berkualiti atau sebaliknya.

Nik Azira berkata idea untuk menghasilkan baja organik berkenaan tercetus apabila pihak sekolah cuba menjimatkan kos baja yang diperoleh dari luar untuk kegunaan pelajar aliran vokasional bidang tanaman. 

"Sebelum ini sekolah terpaksa membelanjakan sekitar RM500 untuk pembelian baja dari luar bagi  tiga fasa tanaman diusahakan pelajar berkenaan iaitu jagung madu, sawi, terung dan bendi.

Beliau berkata usaha mereka berhasil selepas hampir enam bulan apabila baja yang dihasilkan itu memberikan kesan positif dan dijual di sekolah berkenaan dengan harga RM10 untuk 500 milimeter. 

"Kita sambut baik sekiranya mana-mana pihak atau syarikat yang mahu menjalinkan kerjasama dengan pihak sekolah untuk mengembangkan lagi produk berkenaan dan dipasarkan secara lebih meluas," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan