AM > BERITA

Amanat Hari Kebangsaan: PM Anwar Imbau Insiden Lahad Datu, Semarakkan Jiwa Merdeka

29/08/2024 10:18 AM

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Selepas hampir dua tahun mengemudi pentadbiran Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi akan menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 tahun ini.

Majlis yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, esok menyasarkan kehadiran 7,350 tetamu terdiri daripada pelbagai agensi antaranya penjawat awam, warga pendidik di peringkat sekolah dan institusi pendidikan tinggi, majlis perwakilan pelajar, pesara polis dan badan bukan kerajaan.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan ke PICC, mereka digalakkan agar tidak melepaskan peluang untuk mengikuti amanat Anwar melalui siaran langsung di kaca televisyen atau media sosial.

Berlangsung selama kira-kira satu jam, majlis yang diterajui Kementerian Perpaduan itu turut akan menampilkan segmen bicara eksklusif ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama - Mengimbau Insiden Lahad Datu’ sebelum disusuli dengan pelbagai persembahan yang akan diikuti dengan acara kemuncak iaitu ucapan amanat Perdana Menteri.

Segmen bicara eksklusif itu akan menampilkan beberapa ahli panel antaranya mantan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohd Rodzi Saad, serta anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia yang terlibat semasa insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

Majlis turut akan diserikan dengan tayangan video kemerdekaan yang dibawakan khas Arkib Negara Malaysia, serta persembahan kebudayaan menampilkan penyertaan pelbagai kaum di negara ini dengan memainkan pelbagai alat muzik mencerminkan identiti kepelbagaian kaum antaranya kompang, gendang, tawak dan rebana.

Anwar juga akan menyerahkan Jalur Gemilang kepada anak-anak Malaysia yang terdiri daripada pelajar taman didikan kanak-kanak, sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pendidikan tinggi dan belia sebagai simbolik perasmian majlis amanat itu.

Diadakan sehari sebelum sambutan acara tahunan nasional negara, majlis amanat itu menjadi platform bagi membangkitkan semangat patriotik dan menyemarakkan penghayatan kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya generasi baharu, selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini adakan disambut di Dataran Putrajaya. Ia dianjurkan di sini (Putrajaya) buat julung kalinya pada 2003, seterusnya pada 2005, 2018, 2019 dan 2023.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan