AM > BERITA

Tanah Jerlus: Operasi SAR Gunakan ‘Ground Penetrating Radar’

29/08/2024 11:50 AM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Operasi mencari mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India diteruskan dengan Ground Penetrating Radar (GPR) oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang mula digunakan sejak Selasa lepas. 

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif menerusi kenyataan di sini hari ini berkata kerja-kerja melalui kaedah GPR ini diteruskan sehingga selesai kerana keutamaan sekarang untuk menemukan mangsa secepat mungkin. 

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terus bekerjasama dengan seluruh pasukan SAR (mencari dan menyelamat) antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya, Agensi Nuklear Malaysia serta pihak Indah Water Konsortium (IWK),” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan SAR yang tanpa mengenal jemu dan putus asa serta terus berusaha dari siang hingga ke malam mencari mangsa. 

“Semangat dan iltizam yang ditunjukkan oleh seluruh pasukan SAR amat dihargai. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar semua petugas terus diberikan kesihatan yang baik dan usaha ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya. 

Setakat 11 pagi ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh JBPM kepada pihak media yang setia menanti seawal 8 pagi tadi berhubung usaha terbaharu SAR itu.

Pada 23 Ogos lepas, satu insiden tanah jerlus berlaku dan menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan