AM > BERITA

Persiapan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Berjalan Lancar - Fahmi

29/08/2024 12:33 PM

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang akan diadakan di Dataran Putrajaya Sabtu ini dijangka berjalan lancar, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata hal itu susulan raptai penuh sambutan hari ini berlangsung tanpa sebarang masalah, dengan semua perarakan dan persembahan berjalan mengikut perancangan.

"Kita jangkakan segala persiapan ini akan membuahkan hasil yang cukup positif pada Sabtu nanti," katanya selepas menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Bagaimanapun, Fahmi berkata terdapat beberapa aspek penyelarasan yang perlu ditambah baik bagi memastikan kesempurnaan perjalanan sambutan pada 31 Ogos ini.

"Kita doakan semoga semua persiapan dan juga acara nanti berjalan dengan baik serta lancar," katanya.

Persembahan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2024 bertemakan "Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka" itu dijangka berlangsung selama dua jam, antara lain menampilkan 25 pancaragam, 479 aset ketenteraan dan pertunjukan udara. Ia dijayakan kira-kira 17,000 peserta daripada 59 kontinjen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan