BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 AM > BERITA

Raptai Penuh Hari Kebangsaan 2024 Tarik Tumpuan Ramai

29/08/2024 03:31 PM

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Gelagat lucu dan santai pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memakai sut penyamaran sniper camouflage antara tarikan yang menggamit tumpuan orang ramai pada raptai penuh Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya hari ini.

Keriuhan semangat kemerdekaan itu kian terasa apabila anggota ATM turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan pengunjung dan anak kecil ketika menunggu giliran untuk berarak menuju pentas utama sepanjang Persiaran Perdana di sini. 

Tinjauan Bernama seawal 6 pagi mendapati orang ramai tanpa mengira dewasa mahupun anak kecil mengambil peluang hadir menyaksikan raptai penuh itu, ada memakai pakaian etnik yang menonjolkan warna Jalur Gemilang manakala ada yang tampil dengan pelekat (sticker) di muka bermotifkan bendera negara dan bunga kebangsaan bunga raya.

Di satu sudut, kelihatan air coklat dan mangkuk bijirin diagihkan secara percuma kepada pengunjung manakala pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia serta polis trafik bertindak mengawal lalu lintas dan pergerakan orang ramai agar tidak mengganggu kontinjen yang berarak.

Cuaca panas tidak menghalang kelancaran raptai penuh yang bermula sejak 7.30 pagi dan tamat 10.15 pagi.

Penyelia Taska Permata Kementerian Belia dan Sukan Suhana Abdullah Yi membawa seramai 75 kanak-kanak berusia lingkungan setahun hingga empat tahun di bawah seliannya kira-kira 7.30 pagi untuk menyaksikan raptai penuh berkenaan. 

Beliau berkata ia sebahagian program sempena Bulan Kebangsaan di taska itu bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

“Kanak-kanak memang nampak teruja melihat kontinjen yang segak bergaya dengan uniform masing-masing dan setakat ini mereka gembira, tiada tantrum atau menangis.

“Sejak hari pertama raptai, kami telah bersedia di tepi jalan untuk menyaksikan kontinjen berlatih, semangat patriotisme itu orang kata memang membara setiap kali melihat mereka (pasukan kontinjen),” katanya yang turut diiringi 15 guru pengiring.

Berkongsi keterujaan menyaksikan raptai penuh itu, kakitangan swasta Taufik Abd Rahman, 35, berkata kemeriahan sesi raptai pada hari ini dilihat cukup luar biasa.

“Memang seronok, semangat yang ada di Dataran Putrajaya pagi ini cukup hebat. Sebagai warga Taiping, Perak, saya bersama isteri mengambil keputusan untuk bercuti ke Kuala Lumpur bermula semalam hingga Ahad ini.

“Keputusan kami untuk keluar seawal 5 pagi tadi dari Kuala Lumpur untuk hadir ke sini memang berbaloi. Bagi saya ini suatu pengalaman tidak dapat dilupakan dan saya ada ‘high expectation’ terhadap sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada Sabtu ini,” katanya kepada Bernama.

Dataran Putrajaya dipilih buat kali kedua berturut-turut di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan untuk menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti yang akan turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan lain yang dijayakan oleh 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 pasukan pancaragam, 534 aset Angkatan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia serta 100 haiwan dalam perkhidmatan.

‘Malaysia MADANI : Jiwa Merdeka’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

Pada 30 dan 31 Ogos, terdapat 10 jalan utama sekitar Putrajaya akan ditutup bermula dari 7 petang sehingga sambutan selesai.

Laluan yang terlibat termasuk Persiaran Barat dan Lebuh Sentosa (arah Lebuh Saujana), Lebuh Sentosa dan Jalan Presint 8 (arah Lebuh Wawasan), Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah susur ke Laman Perdana, Jalan Presint 18 (arah Lebuh Bestari), Jalan Presint 18, Lebuh Setia dan Lebuh Saujana (arah Jalan Tun Hussein) serta Jalan Presint 5 (arah Lebuh Gemilang Perdana).

Pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan diminta berhati-hati serta mematuhi papan tanda keselamatan untuk perjalanan yang lancar dan selamat.

Selain itu, orang ramai boleh melayari laman sesawang Merdeka360 di www.merdeka360.my atau mengunjungi laman media sosial di Facebook, Twitter dan juga X bagi memperoleh maklumat lanjut berkaitan sambutan Hari Kebangsaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan