AM > BERITA

Lotus's Malaysia Baik Pulih Makmal Sains SK Pandan Jaya

29/08/2024 08:15 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Lotus’s Malaysia telah membaik pulih makmal sains Sekolah Kebangsaan (SK) Pandan Jaya temasuk menggantikan kemudahan lama dalam makmal sekolah itu dengan yang baharu seperti meja dan almari yang diperbuat daripada besi dan aluminium.

Difahamkan, makmal sains di sekolah itu tidak digunakan selama lebih empat tahun akibat serangan anai-anai.

Ketua Komunikasi dan Kelestarian Lotus's Malaysia Hanim Hamdan berkata dana untuk baik pulih makmal itu diperoleh menerusi Lotus’s Ceria Charity Run 2023 yang berjaya mengumpul sebanyak RM150,000 dengan sokongan lebih dari 3,000 peserta.

“Daripada jumlah itu, RM70,000 disalurkan bagi kerja menaik taraf (makmal) yang memberi manfaat kepada seramai 700 orang pelajar di SK Pandan Jaya manakala RM80,000 pula disalurkan kepada SK Methodist ACS, Seremban dengan majlis penyerahan rasmi telah dijalankan pada 13 Ogos lepas.

“Lotus’s Ceria Charity Run 2023 merupakan acara larian mesra keluarga sulung anjuran Lotus’s Malaysia untuk menggalakkan semua rakyat Malaysia menjalani gaya hidup aktif, sihat dan ceria. Pada masa yang sama, RM20 daripada setiap (yuran) pendaftaran disalurkan ke dalam dana #KitakanJiran Lotus’s untuk memberikan pelajar-pelajar sekolah angkat Lotus’s akses pembelajaran lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Makmal Sains di SK Pandan Jaya yang turut dihadiri Penolong Kanan Pentadbiran SK Pandan Jaya Baharuddin Yassir dan Pengurus Besar PINTAR Foundation Norzalina Masom.

Sementara itu, Hanim memaklumkan hasil kerjasama Yayasan PINTAR bersama Lotus’s Malaysia melalui Program Sekolah Angkat sejak 2016, bilangan sekolah angkat Lotus’s kini telah mencapai 63 buah dan SK Pandan Jaya dan SK Methodist ACS Seremban merupakan dua daripada 63 sekolah yang menerima manfaat melalui kolaborasi itu.

Dalam pada itu, Baharuddin berkata pihaknya amat bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan kepada sekolah dan pelajar-pelajarnya. 

“Pihak sekolah amat berbesar hati jika ada pihak atau agensi yang mahu membantu sekolah dalam memberi sumbangan demi masa hadapan dan kemenjadian murid SK Pandan Jaya.

“Empat tahun lepas, apabila waktu subjek sains, guru-guru perlu membawa kelengkapan pembelajaran serta bahan-bahan projek ke bilik darjah. Ini membebankan para guru dan tidak memberi keseronokan kepada pelajar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan