BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 AM > BERITA

Hari Kebangsaan: Pengunjung Diingatkan Jaga Kebersihan, Guna Tong Sampah Disediakan

29/08/2024 04:07 PM

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Pengunjung Sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada Sabtu ini diingatkan untuk bersama-sama menjaga kebersihan tapak acara di sekitar Dataran Putrajaya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) Badrulhisyam Fauzi dalam kenyataan hari ini berkata orang ramai diminta untuk tidak membuang sampah sembarangan, dan memanfaatkan tong sampah yang disediakan bagi memastikan kawasan acara sentiasa bersih.

Beliau berkata sebanyak 750 unit tong sisa mudah alih serta 11 unit tong roll on, roll off atau "roro"  disediakan di sekitar tapak acara sejak raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2024 dilaksanakan bermula Isnin lepas.

Badrulhisyam berkata Alam Flora turut menugaskan sebanyak 220 pekerja pembersihan untuk menjaga kebersihan di sekitar tapak acara sepanjang sambutan itu berlangsung.

"Komitmen Alam Flora adalah untuk menjamin kelancaran sambutan tanpa gangguan kebersihan," katanya.

Penugasan pekerja-pekerja Alam Flora yang meliputi kawasan melebihi 400,000 meter persegi nanti bertujuan mengekalkan suasana yang selesa dan teratur sepanjang sambutan bersejarah buat negara itu.

Alam Flora dalam kenyataan sama turut memaklumkan bahawa dua unit lori jetter telah digunakan untuk melakukan flushing di Dataran Putrajaya bagi menyediakan tapak yang bersih dan teratur menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2024.

Bagi kerja-kerja pembersihan selepas sambutan pada Sabtu ini, Alam Flora memaklumkan empat unit lori kompaktor telah ditugaskan bagi memastikan kawasan acara dikembalikan kepada keadaan asal dengan cepat dan efisien. 

"Kawasan lain pula dibersihkan oleh pekerja mengikut rutin sedia ada. Usaha ini adalah untuk mengembalikan kawasan terbabit kepada keadaan asal serta mengekalkan kelestarian persekitaran selepas acara berlangsung,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan