BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 AM > BERITA

PKNS Lakukan Transformasi Perniagaan Untuk Kekal Berdaya Tahan

29/08/2024 06:13 PM

SHAH ALAM, 29 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) perlu melakukan transformasi dalam perniagaan bagi melakar masa depan yang gemilang dan merancang hala tuju seiring peranan sebagai peneraju pembangunan unggul negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata selepas enam dekad ditubuhkan, PKNS yang kini melangkah ke era konglomerat harus kekal berdaya tahan dan terus melakukan transformasi untuk bersaing dengan pemaju hartanah terkemuka lain.

Beliau berkata transformasi dinamik perbadanan itu dalam meneroka pembangunan hartanah bernilai tinggi dan komersial membolehkan agensi bersaing dengan pemaju lain, selain dapat menyumbang kembali kepada kerajaan negeri antaranya dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM63 juta setahun.

"PKNS tidak lari dari asas penubuhan iaitu membina rumah mampu milik tetapi selepas puluhan tahun ditubuhkan dan seiring perkembangan ekonomi, kita perlu melakukan transformasi dalam bidang perniagaan untuk pastikan perbadanan ini kekal bersaing.

“Dahulu setiap kawasan yang kita bangunkan rumah mampu milik, kita tidak perlu bayar kos tanah, ia disediakan secara percuma oleh kerajaan tetapi sekarang dengan harga tanah semasa serta kos infrastruktur lain, kita rugi RM30,000 bagi setiap unit rumah," katanya dalam sidang media selepas menghadiri forum  Transformasi PKNS: Peluang dan Cabaran sempena 60 tahun penubuhan agensi itu di sini hari ini.

Mahmud berkata untuk menjana pendapatan dan menyumbang kembali kepada kerajaan negeri, PKNS tidak boleh lagi tertumpu kepada membina rumah mampu milik sahaja, sebaliknya menceburi bidang perniagaan yang boleh memberikan keuntungan tinggi.

Beliau berkata transformasi itu tidak bermakna PKNS telah menyimpang dari agenda penubuhannya, sebaliknya perbadanan itu komited membina 10,000 rumah kos rendah hingga 2030.

Selepas menceburi tujuh sektor perniagaan termasuk tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa, penjagaan kesihatan, hospitaliti dan teknologi, Mahmud berkata agensi itu kini menyasarkan membuat pelaburan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pusat data yang dikenal pasti belum diceburi ramai pemain industri tempatan.

"Saya yakin PKNS ada kemampuan untuk terlibat dan melabur dalam dua bidang ini dengan kita dapati tidak ramai orang kita yang terlibat…saya yakin kita ada kemampuan untuk bersaing," katanya.

Mengenai forum berkenaan, Mahmud berkata perbincangan menampilkan tiga tokoh korporat terkenal dan dihadiri 250 peserta itu, menjadi platform membincangkan trend masa depan, cabaran, prospek, inisiatif serta strategi transformasi yang perlu dilaksanakan kumpulan PKNS sebagai langkah penting menuju era konglomerat yang lebih mampan, berdaya saing serta relevan. 

"Forum ini bukan sahaja memberi impak besar kepada PKNS dalam mengekalkan imej sebagai sebuah agensi pembangunan yang stabil dan relevan, tetapi landasan untuk kami mencari idea-idea yang boleh membawa perbadanan ini ke satu tahap yang lebih maju pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan