BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 AM > BERITA

Projek MyGenom Sasar Kumpul 10,000 Jujukan Genom, Hasilkan Rujukan Genetik Tempatan

29/08/2024 06:20 PM

SHAH ALAM, 29 Ogos (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan untuk mengumpul sebanyak 10,000 jujukan genom menerusi projek MyGenom, dalam menghasilkan rujukan yang tepat terhadap genetik tempatan sekali gus meningkatkan penyampaian kesihatan dalam negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata projek itu yang bertujuan menghasilkan satu genom rujukan berdasarkan individu sihat, susulan kesedaran bahawa majoriti kajian sedia ada mengenai genomik manusia menggunakan populasi Eropah, Amerika atau Asia Timur.

Beliau berkata projek itu yang kini pada fasa pertama pelaksanaan, sedang dalam proses pembangunan prosedur operasi standard membabitkan pensampelan, kawalan kualiti, pengekstrakan asid deoksiribonukleik (DNA) dan penjujukan, bagi memastikan ia mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Projek MyGenom akan dilaksanakan secara berfasa, iaitu pada fasa pertama akan melibatkan penjujukan sebanyak 2,500 genom dengan jangkaan selesai pada 2025 nanti.

“... dan selepas itu kami akan memohon dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk teruskan projek ini untuk mencapai 10,000 jujukan genom, dengan nisbah 1 daripada 3,300 populasi rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek MyGenom di sini hari ini. 

Hadir sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Penjujukan genom ialah proses menentukan susunan tepat nukleotida dalam molekul DNA, yang menyimpan maklumat genetik mengenai tubuh badan dan dapat memberikan maklumat berkenaan cara gen setiap manusia berfungsi, serta jawapan kepada bagaimana ia mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan manusia.

Chang berkata pangkalan data MyGenom juga akan dibangunkan bagi membolehkan capaian dan perkongsian data genom yang teratur dan sistematik untuk dimanfaatkan bagi pelbagai tujuan analisis, penyelidikan, diagnostik dan aplikasi klinikal dalam kalangan penyelidik dan pihak berkepentingan.

“Penjujukan genom sihat membantu menetapkan garis asas variasi genetik yang normal, yang penting untuk membezakan variasi genetik yang berpotensi menyebabkan penyakit, sekali gus meningkatkan ketepatan dalam mentafsir data genetik.

“Penjujukan populasi rakyat yang sihat juga dapat membantu mengenal pasti faktor genetik yang menyumbang kepada kesihatan dan ketahanan fizikal, yang dapat digunakan sebagai strategi kesihatan awam serta cadangan gaya hidup yang menyokong kesejahteraan dan pencegahan penyakit,” katanya.

Sementara itu, Dzulkefly berkata projek yang turut membuka peluang yang besar terhadap perubatan jitu  di Malaysia itu turut memberi harapan untuk institusi kesihatan tempatan menawarkan rawatan yang lebih berkesan pada masa hadapan.

“Dalam rawatan diabetes contohnya, maklumat genetik boleh digunakan untuk meramal tindak balas pesakit kepada ubat tertentu, sama ada agen hipoglisemia oral atau insulin.

“Perubatan jitu membolehkan pesakit ditawarkan ubat yang paling berkesan dengan lebih awal, mengurangkan kesan sampingan, serta membolehkan natijah kesihatan terbaik untuk jangka panjang,” katanya.

Projek MyGenom diterajui penyelidik agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), Institut Bioteknologi Kebangsaan (NIBM), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institut Kesihatan Negara (NIH).

Pasukan projek MyGenom KKM akan menggunakan tiga strategi pengambilan sampel, iaitu pengambilan secara berterusan di tujuh pusat pendermaan darah di hospital terpilih di seluruh negara, pengambilan sampel secara periodik di tiga pusat pendermaan darah di hospital terpilih dan pengambilan sampel untuk komuniti sasaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan