AM > BERITA

Polis Sekali Lagi Ingatkan Orang Ramai Elak Masuk Kawasan Sar Di Jalan Masjid India

29/08/2024 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 29, Ogos (Bernama) -- Polis sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak memasuki kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India kerana ia boleh mengganggu usaha pencarian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata mereka juga perlu mengelak daripada memasuki kawasan itu susulan satu lagi insiden mendapan tanah semalam hingga menyebabkan jalan di sepanjang Masjid India terpaksa ditutup.

“Saya juga ingin nasihatkan semua supaya patuhi nasihat anggota polis, jangan sewenang-wenangnya melalui kawasan yang tidak dibenarkan. Lanjutan mendapan kedua semalam, saya tak mahu ada apa-apa berlaku,” katanya pada sidang media di Jalan Masjid India hari ini.

Pada Jumaat lepas, mangsa yang dikenali sebagai G. Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus itu.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong dilaporkan sedang berjalan di kawasan berkenaan menuju ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian itu berlaku.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan