AM > BERITA

Spiktra-M Ciptaan MBMB Bantu Melaka Tangani Isu Kesesakan Trafik

30/08/2024 03:39 PM

MELAKA, 30 Ogos (Bernama) -- Dengan bertunjangkan salah satu teras Rukun MADANI iaitu daya cipta, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tidak ketinggalan untuk bergerak seiring dengan perkembangan teknologi menerusi pembangunan Sistem Pintar Kawalan Trafik MBMB (Spiktra-M).

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata Spiktra-M bukan sahaja memaparkan status aliran trafik secara tepat masa, malah kaedah dibangunkan bersama sistem i-Trafik MBMB yang boleh diakses melalui telefon pintar itu turut memuatkan maklumat berkaitan pencahayaan, suhu, kelembapan, karbon dioksida, tekanan, kelajuan angin dan hujan, zon tertentu.

Lebih menarik lagi sistem yang dibangunkan Jabatan Kejuruteraan MBMB itu turut dilengkapi dengan maklumat kawasan parkir kenderaan khususnya di kawasan Zon Bebas Kenderaan di sekitar Banda Hilir.

"Sistem ini mula dibangunkan pada 2019 dan sehingga kini pelbagai penambahbaikan dilakukan dari semasa ke semasa agar ia menjadi satu rangkaian sistem penyelesaian trafik khususnya kepada pelancong yang berkunjung ke Melaka serta rakyat Melaka, terutama pada hujung minggu dan cuti panjang.

"Menerusi maklumat 'real time' yang dipaparkan di dalam sistem i-Trafik MBMB, pelancong dan rakyat Melaka dapat merancang perjalanan mereka agar lebih lancar serta menjimatkan masa, tenaga serta penggunaan petrol," katanya kepada Bernama.

Shadan berkata di bawah Spiktra-M, 11 zon ditempatkan kamera litar tertutup (CCTV) melibatkan Zon Melaka Raya-Jalan Syed Abdul Aziz, Banda Hilir, Kota Laksamana, Melaka Raya, Hang Tuah Mall, Jalan Bendahara, Semabok, Pengkalan Rama, Taman Lagenda, Jalan Panglima Awang dan Spiktra-M Tunggal.

Beliau berkata secara keseluruhan lebih 100 CCTV ditempatkan di persimpangan jalan di semua 11 zon berkenaan manakala zon ke-12 iaitu Limbongan dalam proses pembangunan sistem dan pemasangan CCTV.

Datuk Bandar itu berkata setakat ini lebih 100,000 pelawat dalam kalangan rakyat tempatan dan pelancong luar negara direkodkan mengakses sistem i-Trafik MBMB menerusi laman sesawang itrafik.mbmb.gov.my.

Shadan berkata pada masa hadapan, melalui sistem i-Trafik MBMB, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat tepat masa mengenai status kekosongan parkir kereta di sesuatu kawasan menerusi penggunaan Kecerdasan Buatan yang kini dalam proses percubaan.

Beliau berkata lebih membanggakan Spiktra-M dijadikan rujukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di dalam dan luar negara khususnya yang ingin membangunkan sistem pengurusan trafik di kawasan atau negara mereka. 

"Pembangunan Spiktra-M membuktikan kejayaan MBMB dalam memperkasa penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadi bandar pintar serta berteknologi tinggi berlandaskan Pelan Strategik MBMB 2030 dan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan