AM > BERITA

#QuranHour 2024: Ambil Iktibar Ayat Al-quran, Terap Nilai Merdeka Dalam Hidup Seharian

30/08/2024 02:32 PM

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Bernama) -- Rakyat Malaysia terutama mereka yang beragama Islam disarankan agar mengambil iktibar daripada dua ayat dalam al-Quran iaitu masing-masing pada surah Al-Hujurat dan Al-Jumu’ah bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 esok.

Bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Malaysia #QuranHour anjuran Yayasan Ummah Ikhlas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata mereka patut mengambil iktibar daripada potongan ayat pada surah berkenaan untuk membebaskan masyarakat Islam khususnya daripada nilai-nilai yang tidak baik.

Kalau kita perhatikan surah Al-Hujurat ini memberikan erti yang besar untuk kita hayati dalam membina peradaban dan nilai-nilai yang unik.  Yang Amat berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bila menyebut tentang gagasan Malaysia MADANI, beliau menekankan kepada pembinaan nilai adab dan akhlak.

“Jadi tak guna kita merdeka daripada sudut fizikal, tetapi akal kita, adab kita tidak ada. Jadi kita bangunkan ekonomi, kita bangunkan negara ini berserta dengan nilai-nilai yang murni,” katanya kepada media pada majlis tersebut yang turut di hadiri Menteri Komunikasi Fahmi Fadzi di sini hari ini..

Mohd Na’im juga berkata mengambil contoh dalam surah Al-Hujurat, antara lain ia menyebut tentang Allah jadikan manusia ini dengan kepelbagaian, bangsa, agama untuk mereka saling mengenali.

“Jadi dengan adanya saling mengenali ini dalam masa yang sama ia membina dan mengelakkan kita daripada melakukan perkara yang disebutkan Allah iaitu ‘jangan sekali-kali kamu mengherdik, memandang rendah (antara satu sama lain)’.

“Jadi bila tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Jiwa Merdeka, ia memaknai rukun negara dan kalau kita lihat antara rukun negara itu yang akhir adalah Kesopanan dan Kesusilaan...ia selari dengan apa yang diajar oleh Allah SWT dalam surah Al-Hujurat,” katanya.

Mohd Na'im turut mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan majlis tersebut setiap tahun yang kini menghampiri sedekad.

Sementara itu, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini adakan di Dataran Putrajaya dengan tema Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan