AM > BERITA

Klinik Kesihatan Jenis 2 Taman Cendana Pasir Gudang Dijangka Siap Jan 2025

30/08/2024 03:55 PM

JOHOR BAHRU, 30 Ogos (Bernama) -- Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 2 di Taman Cendana, Pasir Gudang, di sini yang menelan belanja RM36 juta dijangka siap pada akhir Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata projek pembinaan yang bermula sejak 2021 itu dijangka mula beroperasi secara berperingkat pada Mac tahun yang sama.

“Projek ini menghadapi pelbagai cabaran. Kontraktor telah tiga kali memohon lanjutan masa (EOT) dengan harapan keseluruhan projek ini dapat disiapkan pada akhir Januari 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor berharap klinik berkenaan dapat mengurangkan kesesakan di klinik kerajaan sekitar Pasir Gudang setelah beroperasi kelak.

“Klinik tersebut termasuk Klinik Kesihatan Masai (menerima 1,000-1,200 pesakit setiap hari), Klinik Kesihatan Pasir Gudang (menerima 800-1,000 pesakit setiap hari) dan Klinik Kesihatan Cahaya Baru (menerima 200-250 ibu mengandung atau bayi setiap hari),” katanya.

Ling berkata dengan pembinaan Klinik Kesihatan Taman Cendana itu, diharapkan penduduk sekitar akan menerima perkhidmatan perubatan yang diperlukan di kawasan tersebut tanpa perlu pergi ke tiga klinik yang sesak yang terletak sekitar tiga hingga 10 kilometer dari Klinik Kesihatan Taman Cendana.

Beliau berkata Klinik Kesihatan Taman Cendana akan dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti jabatan pembedahan, farmasi, X-ray, kecemasan, ibu dan anak, makmal, pergigian, pemulihan, pembangunan kesihatan sosial dan lain-lain.

“Bangunan ini juga akan dilengkapi dengan sistem penghawa dingin sepenuhnya. Selain itu, kawasan seluas 25 ekar ini juga akan menyediakan 530 tempat letak kereta dan 100 tempat letak motosikal,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan