AM > BERITA

Kekal Berwaspada, Fahami Sensitiviti Untuk Keharmonian Antara Kaum - Lee Lam Thye

30/08/2024 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Semua rakyat Malaysia mesti sentiasa berwaspada dan sedar akan sensitiviti masyarakat berbilang agama dan budaya dalam negara demi keharmonian antara kaum, kata Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata seluruh rakyat mesti mengamalkan prinsip kesederhanaan yang merupakan kunci kepada pembinaan negara.

Lee berkata tugas paling mendesak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, adalah memastikan keharmonian kaum dan agama serta menolak segala bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian antara kaum dan agama.

“Inilah masanya untuk semua rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik bangkit dan bersama dalam memajukan bangsa Malaysia yang bersatu padu,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena sambutan Hari Kebangsaan esok.

Beliau berkata aset terbesar negara ialah kepelbagaian, dan beliau menggesa semua rakyat Malaysia untuk menghayati latar belakang dan budaya yang unik, memupuk persekitaran saling menghormati, persefahaman dan keterangkuman untuk meneruskan tugas membina masyarakat yang harmoni.

“Semasa kita menyambut Hari Kebangsaan yang akan datang ini, saya ingin mengulangi sekali lagi kepentingan Rukun Negara yang seharusnya menjadi panduan berterusan kita untuk pembinaan negara,” katanya.

Memandangkan pendidikan berkualiti adalah asas kepada kemajuan, Lee berkata adalah penting bagi negara mengekalkan standard pendidikan yang tinggi untuk memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai akses kepada sumber dan peluang yang diperlukan untuk berjaya.

“Untuk meningkatkan ekonomi kita, kita mesti memupuk persekitaran yang kondusif kepada pertumbuhan ekonomi, inovasi dan keusahawanan serta memerangi rasuah di mana-mana sahaja,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan