AM > BERITA

Jabatan Perikanan Labuan Lepaskan 2,500 Benih Siakap Ke Sungai Kinabenuwa

30/08/2024 05:57 PM

LABUAN, 30 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perikanan Labuan melepaskan 2,500 ekor benih ikan siakap ke sungai bakau Kinabenuwa di sini hari ini, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan bekalan ikan tempatan.

Inisiatif itu adalah yang pertama dilakukan pada 2024, sebelum ini 2,300 ekor benih ikan siakap dilepaskan ke sungai sama pada Oktober tahun lepas.

Pengarah Jabatan Perikanan Labuan Sufian Ahmad berkata pelepasan itu menjadikan jumlah keseluruhan anak benih ikan siakap dilepaskan ke dalam sungai itu ialah 12,650 ekor sejak program berkenaan dimulakan pada 2021.

"Sungai bakau Kinabenuwa dikenal pasti sebagai lokasi utama pelepasan ini berikutan ekosistem yang sesuai, menyokong pertumbuhan stok ikan di perairan awam," katanya pada program pelepasan benih ikan itu.

Selain siakap, Jabatan Perikanan Labuan juga melepaskan kira-kira 12,000 ekor benih ikan kuku (saltwater sea bream) ke Sungai Kinabenuwa antara 2021 hingga 2023.

Dalam pada itu, Sufian menggesa orang ramai agar bertanggungjawab menguruskan spesies ikan asing yang dibela sebagai haiwan peliharaan.

"Melepaskan spesies bukan asli ke perairan awam boleh mengganggu ekosistem tempatan kerana spesies asing ini mungkin lebih agresif dan mengatasi ikan asli untuk mendapatkan sumber," katanya.

Beliau berkata dari 2016 hingga 2021, Jabatan Perikanan telah melepaskan 44.7 juta ekor benih ikan bernilai lebih RM50 juta ke perairan di seluruh Semenanjung Malaysia, Sarawak, Sabah dan Labuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan