AM > BERITA

Kerajaan Sedia Pinda Undang-undang Tangani Hasutan Perkauman -- PM Anwar

30/08/2024 08:04 PM

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak teragak-agak untuk meminda dan menambah peruntukan undang-undang bagi menangani isu hasutan perkauman.

Beliau berkata adalah menjadi tugas kerajaan untuk menyelamatkan negara daripada hasutan kelompok kecil yang cuba mencetuskan keganasan, kebencian dan permusuhan antara satu sama lain.

“Andai kata ada mana-mana kelompok kecil yang bawa hasutan kaum ke arah keganasan dan kebencian serta permusuhan antara satu sama lain, saya tidak peduli apakah disenangi oleh media antarabangsa atau negara luar. Tugas kita ialah selamatkan negara Malaysia tercinta ini.

“Kalau tidak cukup segala kuasa dan kekuatan yang ada, kita pinda, tambah peruntukan undang-undang dan kita ambil tindakan supaya negara ini selamat dan ia dapat diangkat sebagai negara hebat di rantau dan di dunia ini,” katanya dalam Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian di hadapan kira-kira 7,000 tetamu daripada pelbagai agensi termasuk penjawat awam, warga pendidik, majlis perwakilan pelajar, pesara polis dan badan bukan kerajaan.

Majlis anjuran Kementerian Perpaduan Negara selaku kementerian peneraju itu dihadiri oleh Menteri Kabinet, jentera perpaduan seperti Kawasan Rukun Tetangga, ahli Sekretariat Rukun Negara, ahli Kelab Rukun Negara, pertubuhan bukan kerajaan, agensi swasta dan orang awam.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini disambut di Dataran Putrajaya dengan tema 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.'

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan