AM > BERITA

Tanah Jerlus: Penggunaan Kamera Teleskopik Usaha Terkini Operasi SAR

31/08/2024 02:23 AM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Pelbagai teknik termasuk kaedah jetting, flushing dan menyedut keluar air dari lokasi kejadian digunakan dalam usaha mengesan wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India namun operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih menemui kebuntuan. 

Berikutan itu, pasukan SAR kini menggunakan kamera teleskopik bagi mengesan kedudukan jasad mangsa yang dikenali sebagai G.Vijaya Lakshmi, 48, yang hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus pada 8.22 pagi 23 Ogos lepas.

Peralatan itu mempunyai gabungan teknologi yang terdapat pada kamera push rod dan crawler, yang ditawarkan secara percuma oleh pihak swasta kepada pasukan SAR.

Penggunaannya diharap dapat membantu pasukan SAR melihat imej lebih jelas terutama di lurang kumbahan dua di kawasan pencarian yang dikesan tersumbat akibat sisa sampah dan backlog.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad merumuskan operasi SAR dengan kaedah penyelaman adalah terlalu berisiko untuk mereka meneruskan usaha mengesan mangsa.

Faktor risiko yang dikenal pasti ialah penyelam terpaksa berdepan cabaran aliran air yang deras; ruang sempit untuk pasukan penyelamat dan sisa-sisa sampah serta backlog yang keras di kawasan carian.

Justeru itu, kerajaan merancang langkah mitigasi berhubung risiko insiden tanah jerlus yang menjadi kerisauan umum susulan kejadian yang menimpa pelancong wanita warga India tersebut.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini memaklumkan perkara itu telah dibawa untuk perhatian Kabinet dan pihaknya turut memutuskan agar langkah-langkah segera dilakukan bagi mengenal pasti kawasan berisiko sebagaimana Jabatan Kerja Raya mengenal pasti lebih 2,000 lokasi cerun yang berisiko ketika ini.

Tinjauan Bernama ke stesen pam di Loji Indah Water Konsortium Pantai Dalam mendapati JBPM terus melakukan pemeriksaan dua kali sehari dan cuba menjejaki sebarang petunjuk bagi mencari mangsa sehingga dia dijumpai.

Susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, kawasan sekitar Lorong Tuanku Abdul Rahman ditutup sepenuhnya mulai esok untuk memberi laluan kepada operasi SAR serta kerja-kerja ujian tanah dengan menggunakan Ground Penetrating Radar.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam kenyataan malam tadi memaklumkan bahawa penutupan kawasan di sekitar Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India adalah perlu bagi memastikan agar keselamatan peniaga serta orang awam terjamin.

Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran yang telah bertemu wakil persatuan mewakili lebih 150 peniaga di Jalan Masjid India memaklumkan bahawa mereka berhasrat bertemu dengan agensi kerajaan berkaitan bagi membincangkan isu keselamatan dan masa depan perniagaan mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan