AM > BERITA

Sambutan Hari Kebangsaan: Orang Ramai Mula 'berkampung' Sejak Malam Tadi

31/08/2024 07:59 AM

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Pekarangan Dataran Putrajaya di sini mula dipenuhi orang ramai sejak tengah malam tadi bagi menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang berlangsung 8 pagi ini.

Semangat menyambut detik bersejarah ini dapat dilihat apabila ada pengunjung sanggup ‘berkampung’ di kawasan dataran sejak malam tadi bagi memastikan mereka mendapat tempat terbaik untuk melihat perarakan serta persembahan menarik sempena sambutan tahun ini. 

Bukan hanya laluan utama perarakan, tempat duduk awam bertingkat yang disediakan khas juga mula dipenuhi orang ramai sebaik sahaja dibuka secara berperingkat pada 3.30 pagi. 

Sekitar 6.30 pagi, dif-dif kehormat, diplomat dan perwakilan asing mulai tiba di lokasi.

Keadaan cuaca yang baik pagi ini melancarkan dan memudahkan pergerakan pengunjung serta peserta perarakan dan persembahan membuat persiapan. 

Seorang pengunjung Norhasmira Rahim, 34, dari Klang, Selangor berkata dia dan rakan-rakan  memutuskan untuk ‘bermalam’ di Dataran Putrajaya sejak 12 tengah malam tadi  bagi memastikan mereka mendapat tempat paling hampir dengan pentas utama. 

“Kita tahu orang ramai memang sanggup hadir awal setiap kali sambutan berlangsung, tetapi meskipun kami datang awal, sudah ramai yang berada di sini.

“Walaupun terpaksa berkorban masa dan tenaga, ia bukan masalah kerana kami sangat teruja untuk menyaksikan acara pada hari ini,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan