AM > BERITA

Rakyat Zahir Semangat Jiwa Merdeka Pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024

31/08/2024 12:56 PM

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- ‘Gelora’ jiwa merdeka lebih 100,000 rakyat Malaysia membara di Dataran Putrajaya apabila sekali lagi menjadi medan penyatuan pelbagai lapisan umur, bangsa dan agama, untuk bersama-sama menzahirkan kecintaan kepada negara pada sambutan Hari Kebangsaan 2024 hari ini.

Seiring dengan tema Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, rasa bangga dan keterujaan rakyat meraikan sambutan ke-67 tahun kemerdekaan negara, jelas terpancar pada riak wajah mereka yang telah membanjiri segenap sudut di sepanjang lima kilometer laluan perbarisan di dataran berkenaan sejak tengah malam tadi lagi.

Memasuki edisi keenam penganjurannya di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya dianjurkan buat julung kalinya pada 2003, seterusnya pada 2005, 2018, 2019 dan 2023.

Seperti tahun sebelumnya, pembuka tirai kepada acara yang begitu bermakna dalam diri setiap rakyat Malaysia ini, dimulai dengan ketibaan dif-dif kehormat pada 6.30 pagi, disusuli keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, tepat 8 pagi.

Malah, Sultan Ibrahim turut berkenan memandu sendiri kenderaan peribadi Seri Paduka untuk menghadiri sambutan Hari Kebangsaan pertama Baginda selepas mengangkat sumpah Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.

Sejurus keberangkatan tiba di Pentas Diraja, lima pesawat helikopter membawa Jalur Gemilang melakukan lintas hormat, sebagai penghormatan kepada Seri Paduka Baginda diiringi nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.

Seri Paduka Baginda kemudian menerima Tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat, dari Kem Perdana Sungai Besi diketuai Mejar Muhammad Fikri Senan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta menteri Kabinet termasuk Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024, diplomat dan perwakilan asing, menghadiri sambutan itu.

Disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan media sosial, sambutan dimeriahkan dengan persembahan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2024 yang dijayakan 17,262 peserta, 57 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 343 aset darat, 37 aset udara dan 112 haiwan dalam perkhidmatan.

Hujan renyai yang bermula 7.50 pagi  tidak mematahkan semangat rakyat Malaysia, malah kian berkobar-kobar sebaik acara sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, acara menaikkan Jalur Gemilang diiringi 14 das tembakan kehormatan sebagai simbolik kepada 14 negeri di Malaysia oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.

Bagaikan tidak sempurna menjiwai hari kemerdekaan tanpa bacaan ikrar Rukun Negara dan Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa, antara wira yang terlibat dalam insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei, diberi mandat mengetuai 66 pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas Cheras, Kuala Lumpur pada sambutan kali ini.

Gelora jiwa merdeka berkobar bangga dan masing-masing tidak ketingalan mengibarkan Jalur Gemilang mini sebaik laungan keramat ‘Merdeka’ bergema di setiap sudut Dataran Putrajaya sebanyak tujuh kali seusai habis bacaan tersebut.

Tumpuan pengunjung kemudiannya mula terarah kepada pertunjukan perarakan komponen kenegaraan yang dimulai kontinjen pembawa Jalur Gemilang bersaiz 24.3 meter x 12.2 meter oleh 100 pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Perarakan membawa bendera negeri juga tidak ketinggalan menyemarakkan suasana sambutan melibatkan 100 anggota daripada Pasukan Kor Kadet Polis, Persekutuan Pengakap Malaysia dan Pasukan Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan.

Lebih istimewanya, apabila buat pertama kali dalam sejarah kontinjen Komuniti Malaysia MADANI menjadi kontinjen terpanjang berpakaian etnik lengkap beraksesori, sekali gus melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.

Pengunjung juga nampaknya tertarik dengan keunikan ditonjolkan kontinjen tersebut melalui alatan dan persembahan khas antaranya, kumpulan jidur dan tetuang, kompang, tarian naga dan singa, Chingay, pergendangan Urumi dan Bhangra, tarian merak serta perarakan kuda dan pahlawan Bajau.

Acara diteruskan dengan Kontinjen Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang telah menjelajah sejauh 8,551 kilometer merangkumi 162 hentian di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Semestinya, kemajuan negara bagaikan tidak lengkap tanpa sektor yang memacu pertumbuhan ekonomi negara, justeru acara sambutan diteruskan dengan perbarisan kontinjen ekonomi pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan swasta antaranya Permodalan Nasional Berhad, FGV Holdings Berhad dan Khazanah Nasional.

Suasana sambutan semakin meriah apabila watak animasi popular, Upin dan Ipin, Boboiboy, Papa Zola dan Ejen Ali, gabungan stesen penyiaran termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Media Prima, RTM dan Astro, turut mewarnai perarakan kontinjen industri kreatif dan penyiaran.

Tidak ketinggalan, atlet yang mengharumkan nama negara dalam pelbagai temasya sukan antarabangsa juga turut tidak terkecuali terlibat dalam perbarisan dan perarakan sambutan yang penuh bermakna ini.

Seperti biasa, acara paling ditunggu pastinya menerusi kontinjen kesejahteraan apabila para hadirin dihidangkan dengan pelbagai perarakan aset, seperti kenderaan operasi pasukan khas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta dua unit jentera terbaharu Urban Search and Rescue Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Tambah mengujakan debaran apabila deruman enjin dan aksi udara yang dipertontonkan antaranya pesawat pejuang jenis Sukhoi SU30MKM, F/A -18D Hornet, Hawk MK 208, pesawat jenis angkut Airbus A400M dan C130 Hercules. 

Selain segmen keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antaranya 21 Grup Gerak Khas dan aset milik ATM, manakala perbarisan detachment Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bersama pegawai-pegawai kanan.

Persembahan tarian bertajuk ‘Cuci Rasuah’ menggunakan peralatan pembersihan iaitu penyapu dan tong sampah turut dipersembahkan, sebagai manifestasi ketelusan tatakelola dan integriti sekali gus mengakhiri persembahan sambutan Hari Kebangsaan 2024.

Tidak hanya di Putrajaya, sambutan Hari Kebangsaan turut berlangsung di seluruh negara walaupun dalam suasana lebih sederhana untuk bersama-sama menyemarakkan semangat patriotik sempena ulang tahun ke-67 kemerdekaan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan