AM > BERITA

500 Pemandu, Penghantar Dan Kakitangan Grab, GXBank Sertai Perarakan Hari Kebangsaan

31/08/2024 12:53 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Seramai 500 rakan pemandu dan penghantar Grab serta pekerja syarikat e-hailing itu dan GXBank hari ini bersama-sama menyertai perarakan Hari Kebangsaan di seluruh negara.

Ia termasuk di Putrajaya yang diketuai Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara Grab Malaysia Rashid Shukor dan perarakan negeri di Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuantan, Melaka dan Pulau Pinang.

Rashid berkata sebagai jenama tempatan, pihaknya percaya ia penting bukan sahaja untuk meraikan kekayaan kepelbagaian dan warisan negara, tetapi mengiktiraf dedikasi tanpa jemu rakyat Malaysia yang telah membantu membentuk negara.

“Sehubungan itu, kami ingin mengambil peluang ini untuk memberi penghormatan kepada rakan pemandu dan penghantar kami di baris hadapan. Komitmen dan perkhidmatan mereka yang tidak berbelah bahagi telah menjadi nadi bagi Grab.

“Walaupun latar belakang berbeza, kami disatukan visi yang sama untuk memainkan peranan membina masa depan lebih cerah Malaysia dan dengan rakan pemandu dan penghantar Grab di sisi, kami lebih bersemangat dan terdorong untuk menggapai impian ini,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan Grab Malaysia hari ini. 

Sementara itu, seorang pemandu Orang Kurang Upaya (OKU) Grab yang turut menyertai perarakan Hari Kebangsaan di Putrajaya, Siti Fatimah Badrun berkata peluang menyertai perarakan amat bermakna baginya.

“Saya bukan hanya mewakili Grab tetapi seluruh masyarakat OKU di peringkat kebangsaan yang menunjukkan walaupun dengan cabaran fizikal, kami juga boleh menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya. 

Siti Fatimah antara lebih 3,100 OKU yang menjana pendapatan menerusi platform Grab di seluruh negara.

Seorang lagi penghantar Grab Nurasma Omar berkata peluang menyertai perarakan itu satu pengalaman paling istimewa baginya dan beliau berasa amat tersentuh dengan perpaduan rakyat Malaysia yang mengambil bahagian dalam perarakan di seluruh negara.

“Hari Kebangsaan adalah hari untuk menghayati sejarah yang kita kongsi serta perjuangan dan kemajuan luar biasa yang telah kita capai untuk tampil lebih kuat sebagai satu bangsa. Pengalaman ini membuat saya menghargai pekerjaan saya setiap hari iaitu berkhidmat kepada masyarakat bersama rakan Grab lain di seluruh Malaysia,” katanya.

Menurut Grab Malaysia, kontinjen rakan pemandu dan penghantar Grab serta para pekerja GXBank, bank digital pertama di Malaysia ini berkongsi satu visi sama untuk membentuk masa depan, dengan teknologi memainkan peranan dalam memperkasakan sebuah negara yang lebih inklusif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan