AM > BERITA

Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Terbaik Tampil Kepelbagaian Kaum - Ahmad Zahid

31/08/2024 01:13 PM

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 antara terbaik pernah dilaksanakan, dengan perubahan dalam acara pembuka dan penutup tirai.

Beliau berkata pelbagai penambahbaikan kepada acara sambutan dengan pengisian menarik khusus perbarisan, menampilkan keunikan kepelbagaian kaum termasuk pakaian tradisional, muzik dan tarian kebudayaan masing-masing.

Ahmad Zahid berkata acara penutup tirai juga menarik dan berbeza iaitu persembahan tarian bertajuk ‘Cuci Rasuah’ yang mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI, dalam menghapuskan amalan rasuah.

“Tahniah kepada Menteri Komunikasi (Fahmi Fadzil) dan Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024, yang telah menghasilkan persembahan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis sambutan Hari Kebangsaan 2024 dengan tema 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka', di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata seluruh rakyat Malaysia harus bersyukur kerana sekali lagi dapat menyambut Hari Kebangsaan dalam suasana aman dan semangat perpaduan.

“Negara ini aman, jauh daripada segala bencana dan rakyat hidup dengan sejahtera walaupun berbilang kaum, budaya, bahasa dan agama,” katanya.

Mohamad berkata pertunjukan tahun ini menarik dengan penampilan lebih ramai golongan belia termasuk persembahan grafik kreatif oleh 2,000 pelajar sekolah menengah dari Kuala Lumpur dan Selangor.

“Dikoordinasi dan dibuat dengan begitu baik. Mereka telah berlatih dua minggu dan satu persembahan yang baik telah dihasilkan,” katanya.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula menyifatkan sambutan tahun ini amat meriah dan seluruh rakyat Malaysia perlu rasa bangga kerana mencapai 67 tahun kemerdekaan.

“Apa yang penting sekarang adalah untuk semua kekalkan kemerdekaan ini dalam erti yang sebenar,” katanya.

Sambutan tahun ini diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta barisan Jemaah Menteri dan perwakilan asing.

Acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2024 dijayakan 17,262 peserta, 57 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 343 aset darat, 37 aset udara dan 112 haiwan dalam perkhidmatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan