AM > BERITA

Sambutan Hari Kebangsaan Di Seluruh Negara Meriah Dengan Pelbagai Acara

31/08/2024 03:16 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Ketika tumpuan diberikan kepada sambutan utama Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya pagi tadi, rakyat daripada segenap lapisan masyarakat tidak ketinggalan meraikan hari bersejarah negara, menerusi pelbagai acara di seluruh negara.

Mengangkat tema Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, acara sambutan di peringkat negeri turut mempamerkan semangat yang sama dalam kalangan masyarakat setempat, dengan menggabungkan penyatuan tradisi, budaya daripada pelbagai kaum dan etnik.

Di PULAU PINANG, lebih 25,000 orang membanjiri Jalan Padang Kota Lama, George Town sejak 7 pagi bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri, yang melibatkan penyertaan 7,190 peserta kawad kaki dan 1,078 peserta kontinjen kenderaan.

Sambutan bermula 8 pagi itu, dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Mohd Nor; Ketua Menteri Chow Kon Yeow, barisan kepimpinan negeri dan ketua jabatan negeri.

Di KEDAH, cuaca mendung tidak menghalang lebih 35,000 pengunjung membanjiri Dataran Medan Bandar, Alor Setar seawal 5 pagi bagi menyaksikan perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan yang diserikan dengan keberangkatan tiba Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha.

Pengunjung jelas teruja menyaksikan acara perbarisan dan perarakan yang disertai 5,000 peserta termasuk pertunjukan udara oleh pesawat F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Butterworth, yang terdahulu selesai melaksanakan pertunjukkan udara di Putrajaya.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, anakanda baginda berdua Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah dan Raja Datuk Seri Nazira Safya, berkenan berangkat ke majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2024 peringkat negeri di Dewan Bandaran Ipoh, pagi tadi.

Kira-kira 30,000 pengunjung hadir bagi menyaksikan acara perbarisan disertai 108 kontinjen melibatkan lebih 6,000 peserta terdiri daripada 71 kontinjen kawad membabitkan jabatan kerajaan, pasukan beruniform, badan berkanun, pihak swasta, pelajar universiti dan sekolah.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tuanku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, turut berangkat mencemar duli pada majlis berkenaan yang turut disertai lebih 20,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat, di pekarangan dataran Majlis Bandaraya Seremban seawal 6 pagi, dengan ada yang berpakaian bertemakan Jalur Gemilang.

Lebih 80 kontinjen membabitkan 5,000 peserta menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan kali ini, yang turut dimeriahkan dengan perarakan Kelab Kereta Klasik dan Antik Negeri Sembilan serta Kelab Basikal Tuo Soghomban.

Di MELAKA, lebih 50,000 pengunjung teruja menyaksikan Pertunjukan Lintas Udara Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, yang julung kali diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri tahun yang berlangsung di Persiaran Jalan Merdeka Banda Hilir, di sini.

Walaupun hujan lebat sejak awal pagi, namun sambutan yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam itu tetap meriah, dengan penyertaan 8,000 peserta daripada 161 kontinjen yang berarak sejauh 4.8 kilometer (km), bermula di Padang Dataran Pahlawan hingga ke Stadium Hang Tuah.

Di JOHOR, sambutan Hari Kebangsaan 2024 peringkat negeri yang diadakan di Dataran Segamat dihadiri kira-kira 8,000 orang, menyaksikan perarakan melibatkan 114 kontinjen terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan badan beruniform, sekolah dan institusi pendidikan tinggi dan pelbagai kenderaan.

Sementara di PAHANG, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, bersama-sama 65,00 rakyat di negeri itu.

Acara dipenuhi dengan perbarisan pasukan beruniform, nyanyian lagu patriotik, persembahan tarian Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Demonstrasi Atur Gerak Tim Penggempur 4 Briged (Mekanize), selain turut dimeriahkan dengan kehadiran enam buah jet pejuang pesawat Sukhoi Su-30MKM dari No.12 Skn, Pangkalan Udara Gong Kedak, yang membuat penerbangan lintas hormat di ruang udara bandar Kuantan.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di TERENGGANU berlangsung di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, yang turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung.

Acara dimulakan pada 7.30 pagi dengan laungan ’Merdeka’ dan bacaan doa untuk para pejuang kemerdekaan disusuli perarakan 122 kontinjen sejauh 1.3km dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) ke Dataran Shahbandar.

Di SABAH, 185 kontinjen menyertai perarakan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024 yang berlangsung di Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu, disaksikan lebih 10,000 pengunjung yang berkumpul seawal pukul 6 pagi.

Acara yang diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlida RM Jasni, dimeriahkan dengan ‘tarian perang’ oleh Angkatan Tentera Malaysia, konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, kumpulan bermotor penghantar makanan Grab dan Unduk Ngadau Kaamatan 2024.

Di SARAWAK, Yang Dipertua Negeri Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi menyertai lebih 10,000 orang di dalam acara jalan ria, bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 peringkat negeri di Sibu.

Acara jalan ria sejauh 2.4km pada 7.30 pagi yang bermula dari Dataran Tun Tuanku Bujang itu, turut dimeriahkan dengan aktiviti senamrobik dan cabutan tiket bertuah yang menawarkan 40 hadiah menarik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan