AM > BERITA

Proton e.MAS 7 Buat Kemunculan Pada Perarakan Hari Kebangsaan 2024

31/08/2024 05:45 PM

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Kereta elektrik pertama Proton, e.MAS 7 membuat kemunculan pada perarakan Sambutan Hari Kebangsaan hari ini bersama-sama model lain pengeluar kereta nasional itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Sdn Bhd Mahmood Razak Bahman yang mewakili kontinjen DRB-Hicom menyifatkan e.MAS 7 sebagai pencapaian penting Proton.

“Ini penampilan pertama e.MAS 7 kepada umum yang akan dikeluarkan menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Proton mempamerkan model daripada Proton Saga yang dilancarkan pada 1985 kepada Wira, Putra, Tiara, Savvy dan Siri X pada perarakan itu.

Berdasarkan Global Modular Architecture (GMA), Proton e.MAS 7 menampilkan sistem pemacu elektrik 12-dalam-1 dan bateri litium besi fosfat (LFP) yang menggunakan sel bateri Aegis Short Blade.

Ia juga dilengkapi sistem audio Flyme Auto yang dikuasakan oleh cip 7 nm.

Mahmood yang juga bekas Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM Berhad berkata penyertaan DRB-Hicom pada acara itu bersama barisan kenderaannya dapat menonjolkan kejayaan sektor industri negara.

“Saya sangat teruja kerana sejak kecil saya menonton perarakan Hari Kebangsaan dan mengimpikan untuk menjadi sebahagian daripadanya.

“Sekarang, setelah menjadi sebahagian daripada dunia korporat, saya akhirnya dapat menyertai perarakan dan mempamerkan kenderaan saya sendiri,” katanya yang memandu Proton Putra miliknya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan